Ahad, 27 March 2022 | 2:24pm
Pengendali JDT II, Raul Mariano mengakui pemainnya terpaksa bergelut untuk menewaskan skuad Projek FAM-MSN 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), malam tadi. Foto ihsan Johor Southern Tigers.
Pengendali JDT II, Raul Mariano mengakui pemainnya terpaksa bergelut untuk menewaskan skuad Projek FAM-MSN 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), malam tadi. Foto ihsan Johor Southern Tigers.

Mariano tabik keberanian Skuad Projek FAM-MSN

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Raul Mariano mengakui pemainnya dipaksa bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 menewaskan skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), malam tadi.

Katanya, persembahan skuad kendalian Hassan Sazali Waras sememangnya di luar jangkaan apabila kerap memberi tekanan di posisi tengah dan pertahanan, malah pemainnya nyaris melakukan kesilapan tetapi lega apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut.

"Kami bergelut untuk menang dan tidak dinafikan pasukan lawan yang rata-rata dibarisi pemain muda bersikap berani dengan permainan terbuka malah memberi kepayahan buat kami yang perlu sentiasa berwaspada ancaman gerakan berbahaya mereka.

"Pemain yang saya turunkan pada perlawanan itu belum ada minit permainan yang mencukupi sebab itu mereka bagaikan hilang fokus dan kerap juga melakukan kesilapan, namun ia adalah proses pembelajaran buat mereka yang hampir 80 peratus pemain bawah 20 tahun.

"Apapun, misi untuk mengutip tiga mata tercapai dan tempoh dua minggu sebelum aksi seterusnya menentang UiTM FC akan menjadi medan terbaik untuk meningkatkan lagi kualiti permainan selain menyesuaikan diri dengan program latihan ketika bulan Ramadan," kata Mariano.

Sementara itu, Hassan Sazali tetap bangga dengan kesungguhan pemainnya yang mengetepikan perasaan gementar apabila berdepan pasukan yang berstatus bintang apabila mampu mengimbangi corak permainan anak didik Mariano.

Dia juga menganggap kekalahan ke atas JDT II ibarat kekalahan bermaruah selepas barisan pemainnya membuat pemain JDT II tidak senang duduk dan hampir menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 2-2, tetapi rembatan Muhammad Farris Izdham Awang Kechik berjaya dihalang pemain pertahanan lawan.

"Ia adalah pendedahan terbaik buat pemain saya apabila menentang pasukan yang hebat seperti JDT II dan mereka juga belajar cara permainan yang tersusun dan mampu mengawal emosi ketika diserang pasukan lawan tanpa menonjolkan sikap panik di padang.

"Rata-rata pemain saya cetek pengalaman dan sebahagian besar mereka berusia antara 17 tahun hingga 19 tahun dan tiga pemain yang masukkan pada babak kedua baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun mereka tenang beraksi walaupun lawan memiliki dua pemain import," kata Hassan.

Berita Harian X