KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) lulus ujian pertama selepas tidak berdepan masalah menundukkan Perak FC, 3-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Begitupun skuad bimbingan Badrul Afzan Razali yang turun buat kali pertama musim ini dalam kancah liga selepas dua aksi terdahulu ditunda berikutan pemain lawan dijangkiti COVID-19 terpaksa menanti pada minit ke-22 untuk mendapatkan gol pertama.
Jaringan itu berpunca daripada rembatan menarik pemain import kelahiran Namibia, Petrus Shetembi dari jarak kira-kira 20 meter yang hanya diperhatikan penjaga gol, Muhammad Farhan Abdul Majid.
Sebelas minit berselang, pintu gol skuad The Bos Gaurus hampir bocor lagi, namun rembatan pemain kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dalam kotak penalti berjaya ditampan penjaga gol.
Sepanjang babak pertama, skuad pelawat kendalian Yusri Che Lah hanya memperoleh satu peluang terbaik menerusi rembatan penyerang, Royizzat Daud yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin selepas bijak membaca percubaan pemain itu.
Bersambung babak kedua, skuad The Turtles memerlukan 12 minit untuk meledak jaringan kedua menerusi tandukan penyerang utamanya, Jordan Mintah selepas menyambut tandukan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob hasil hantaran lintang Shitembi.
Selepas jaringan itu, berbekalkan hampir 250 peminat setia, pemain tuan rumah tidak sesekali mengendurkan asakan, sebaliknya terus mengasak dan hasilnya pada minit ke-64, Muhammad Syafik Ismail mudah menolak masuk untuk jaringan ketiga pasukannya selepas bijak membaca hantaran Engku Nur Shakir.
Pada minit ke-76, Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan hampir mendapat gol saguhati pasukannya, namun penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq lebih pantas menyelamatkan bola daripada dirampas pemain itu dan kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.