KUALA TERENGGANU: Pemain sayap kanan Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid mahu menjadikan Perak FC mangsa pertama apabila skuadnya bakal membuat penampilan sulung dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
Bekas pemain skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) itu menjelaskan penantian yang begitu lama untuk beraksi membuatkan dia dan rakan sepasukannya bagaikan tidak sabar untuk beraksi.
Terdahulu skuad The Turtles bimbingan Badrul Afzan Razali terpaksa berehat panjang selepas aksi pertama menentang UiTM FC pada 5 Mac lalu dibatalkanm berikutan pemain lawan dijangkiti virus COVID-19.
Nasib malang terus menghantui skuad The Turtles itu apabila aksi kedua bertemu Kuching City FC (KCFC) yang dijadualkan berlangsung pada 19 Mac lalu juga terpaksa ditunda berikutan pemain lawan dijangkiti virus berkenaan.
"Impian saya pada aksi pertama malam esok sudah pasti mahukan permulaan yang baik untuk mengutip tiga mata selepas sekian lama menanti untuk beraksi.
"Bertemu Perak FC bukan tugas mudah buat kami lebih-lebih lagi skuad itu mempunyai pengalaman luas beraksi dalam saingan Liga Super musim lalu.
"Bagaimanapun kami sudah bersedia sepenuhnya untuk memburu kemenangan dengan menjadikan skuad itu mangsa pertama. Tambahan pula beraksi di tempat sendiri selain kami bebas daripada sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Badrul Afzan menjelaskan beliau bakal menurunkan barisan terbaiknya termasuk tiga tonggak import iaitu Jordan Mintah, Petrus Shetembi dan Argzim Redzovic.
"Harapan kami agar aksi ketiga ini tidak ditunda lagi selain mengharapkan permulaan yang baik buat pasukan untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri.