Rabu, 16 March 2022 | 10:50am
Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick menyaksikan pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 1-0 kepada Atletico Madrid di Old Trafford. - Foto AFP
Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick menyaksikan pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 1-0 kepada Atletico Madrid di Old Trafford. - Foto AFP

Rangnick salahkan taktik Atletico

MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick menyalahkan Atletico Madrid kerana membuang masa sehingga menyebabkan pasukannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Tandukan minit ke-41 Renan Lodi memberikan kemenangan 1-0 kepada juara Sepanyol itu pada aksi timbal balik kelompok 16 terakhir di Old Trafford dan 2-1 secara agregat.

"Ia cukup sukar di babak kedua dan sentiasa terganggu. Setiap masa akan ada pemain yang terbaring di atas padang. Saya boleh katakan ada keputusan pengadil yang menimbulkan tanda tanya.

"Dia sering tertipu dengan taktik membazirkan waktu pemain-pemain dan tambahan masa empat minit sesuatu yang tidak masuk akal bagi saya.

"Saya rasa kami bermain dengan baik di babak pertama - seperti yang kami rancang dengan tahap kecergasan tinggi tetapi kami tidak dapat menterjemahkannya kepada satu atau dua gol.

"Kami mempunyai beberapa peluang yang sepatutnya disempurnakan, tetapi tidak. Dibolosi menerusi serangan balas sebelum rehat menjadikannya lebih sukar buat kami," kata Rangnick.

Sementara itu pengendali Atletico Diego Simeone memuji anak buahnya yang berjaya mengekang barisan serangan United yang diterajui Cristiano Ronaldo.

"Pasukan ini akan terjun ke dalam kolam renang tanpa mengira ada air ataupun tidak. Apabila mereka bekerja sebagai satu pasukan seperti ini, ia membuatkan saya teruja.

"Kami amat berdaya saing. Gol itu memberikan kami kelebihan dan di babak kedua kami mempamerkan aksi menakjubkan, salah satu yang terbaik musim ini," kata Simeone. - REUTERS

Berita Harian X