Sabtu, 12 March 2022 | 11:50am
Pengendali Tottenham, Antonio Conte (kiri) dan jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick. - Foto ihsan Talksport
Pengendali Tottenham, Antonio Conte (kiri) dan jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick. - Foto ihsan Talksport

Dugaan besar Chelsea, misi penting United, Spurs

KOLUM APA KATA EPL

Kejayaan membenam Norwich pada aksi pertengahan minggu, seperti menunjukkan juara Piala Dunia Kelab, Chelsea tidak dihimpit sebarang masalah besar. Malah, mereka sebaliknya terus mempamerkan taring seperti sebelumnya dengan gaya sentiasa laparkan kemenangan.

Ketika ini The Blues menjadi tumpuan dunia, apabila kelab milik Roman Abramovich ini menjadi antara aset jutawan Russia itu di Britain yang dibekukan kerajaan, susulan pencerobohan negaranya ke atas Ukraine.

Kontroversi melanda ini sebelumnya diakui pengendali pasukan Thomas Tuchel menjejaskan tumpuan skuadnya bagi menghadapi baki saingan liga musim ini yang kian hampir menuju penghujungnya.

Kemenangan 3-1 ke atas kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Norwich di Carrow Road itu, memastikan Chelsea mengukuhkan kedudukan di tangga tiga teratas dan sekali gus masih berpeluang merebut kejuaraan liga selain layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Minggu ini, Tuchel akan menanti kunjungan Newcastle dan berdasarkan prestasi semasa, satu lagi mata penuh dijangka dalam tangan biarpun The Blues diselubungi satu lagi perkhabaran buruk - bakal berdepan mufllis.

Sementara itu tumpuan aksi EPL minggu ini sudah pasti membabitkan pertemuan kelab yang berdepan masalah, Manchester United dan skuad bimbingan Antonio Conte, Tottenham di Old Trafford awal pagi esok.

Sebelum perlawanan ini, Red Devis berada ditangga kelima hasil himpunan 47 mata selepas 28 aksi, meninggalkan Spurs dengan kelebihan dua mata, dengan lawannya masih memiliki kelebihan dua aksi dalam tangan.

Seperti juga pengendali United, Ralf Rangnick, Conte hadir bersama skuadnya dengan tekanan untuk meraih tiga mata bagi menghidupkan terus peluang menamatkan musim ini di tangga keempat.

Bagi United, satu lagi kekalahan selepas dimalukan jiran mereka, Manchester City 4-1 minggu lalu, bermakna peluang ke Liga Juara-Juara musim depan semakin pudar dan sekali gus menyemarakkan lagi masalah dalaman kelab itu.

Spurs pula andai menang, sudah pasti akan memintas United di tangga kelima dengan himpunan 48 mata, sambil berharap Arsenal yang akan kecundang kepada Leicester di Emirates bagi merapati tetangga Londonnya itu.

Mampukah Spurs menjinakkan United ketika rekod lalu menunjukkan mereka hanya menang dua kali di Old Trafford dalam 26 kunjungan ke situ. Kita tunggu dan lihat.

Dalam pada itu, City selaku pendahulu liga dijangka tiada masalah mengutip mata penuh apabila berkunjung Crystal Palace malam esok, manakala pesaing terdekatnya, Liverpool juga harus tiada masalah menjinakkan Brighton malam ini. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini.

Brighton 1-3 Liverpool

Brenford 2-0 Burnley

Manchester United 1-1 Tottenham

Chelsea 2-1 Newcastle

Leeds 2-1 Norwich

Everton 1-3 Wolves

West Ham 2-1 Aston Villa

Southampton 2-0 Watford

Arsenal 1-1 Leicester

Crystal Palace 0-2 Manchester City

Berita Harian X