Jumaat, 11 March 2022 | 2:49pm
Pemain Sri Pahang kembali menjalani latihan semalam. - FOTO Sri Pahang FC
Pemain Sri Pahang kembali menjalani latihan semalam. - FOTO Sri Pahang FC

Sri Pahang kembali berlatih

KUANTAN: Skuad Sri Pahang FC kembali menjalani latihan semalam, selepas menamatkan tempoh kuarantin susulan sebahagian besar pemain dan pegawai didapati positif wabak COVID-19 minggu lalu.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata kelab itu mahu memastikan episod pemain dan pegawai disahkan positif wabak itu tidak berulang.

"Ini kerana sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M), Sri Pahang berdepan sudah dua kali berdepan kes COVID-19 hingga menyebabkan perlawanan yang dijadualkan iaitu Liga Super dan Piala FA ditunda.

"Kes pertama membabitkan perlawanan persahabatan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super yang dijadualkan pada 5 Mac lalu.

"Namun, disebabkan ada pemain dan pegawai yang didapati positif, perlawanan terpaksa ditunda termasuk bertemu Selangor FC pada 8 Mac lalu dan Manjung City yang dijadualkan esok," katanya.

Sehubungan itu, bagi memastikan wabak itu tidak lagi dihadapi Sri Pahang, beliau meminta bukan sahaja pemain dan pegawai, malah ahli keluarga turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, langkah pematuhan itu bagi memastikan tidak lagi berlaku kes jangkitan dalam kalangan pemain dan pegawai.

"Sebaiknya mengutamakan keselamatan dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berada di luar," katanya.

Berita Harian X