Selasa, 8 March 2022 | 5:23pm
Pasukan Liga M3, BRM FC meraikan kejayaan selepas mara ke pusingan pertama Piala FA dan akan menentang JDT hujung minggu ini. - FOTO FB BRM FC
Pasukan Liga M3, BRM FC meraikan kejayaan selepas mara ke pusingan pertama Piala FA dan akan menentang JDT hujung minggu ini. - FOTO FB BRM FC

Piala FA mungkin jadi 'korban' lagi

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan saingan Piala FA terpaksa 'dikorbankan' sekali lagi sekiranya terlalu banyak perlawanan liga yang ditangguhkan susulan COVID-19.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam yang menegaskan keputusan itu bakal menjadi langkah terakhir yang perlu diambil badan pengendali liga itu seandainya keadaan mendesak untuk berbuat demikian.

"Pembatalan Piala FA akan dilakukan jika perlawanan terpaksa ditangguhkan dari minggu ke minggu. Kita tidak mahu membatalkan saingan itu tetapi kita perlu menilai kembali secara praktikal dengan penangguhan perlawanan yang terlalu banyak.

"Kita juga perlu mempertimbangkan keperluan skuad kebangsaan yang mana turut menjadi keutamaan kita. (Pembatalan Piala FA) bukan dalam perancangan kita tetapi kita mesti terbuka untuk mengambil langkah penyelesaian yang berbeza apabila keadaan menjadi bertambah buruk.

"(Pembatalan Piala FA) bukanlah Pelan A ataupun Pelan B - ia adalah jalan terakhir sekiranya gelombang Omicron terus menjejaskan kita untuk minggu mendatang.

"Keputusan akan dibuat oleh Lembaga MFL tetapi sekretariat mesti bersedia dengan apa sahaja pilihan mahupun keputusannya," katanya kepada BH Sukan.

Setakat ini, dua perlawanan Liga Super dan empat perlawanan Liga Perdana terpaksa ditangguhkan kerana pasukan berdepan pandemik COVID-19 dengan Sri Pahang berdepan impak paling buruk apabila tidak dapat beraksi untuk tiga perlawanan termasuk Piala FA.

Hari ini, MFL mengumumkan aksi Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC yang dijadualkan esok ditangguhkan selepas pemain NSFC dijangkiti COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Stuart enggan mengulas lanjut mengenai perkhabaran bahawa format Liga Malaysia (Liga M) akan berubah bagi musim 2023.

"Tiada komen. Kita akan kendalikan perkara itu selepas ini dengan pihak yang terbabit," katanya ringkas.

Terdahulu, portal VocketFC melaporkan saingan liga musim depan akan berwajah baharu selepas menampilkan 18 pasukan sekali gus menyaksikan Liga Perdana dimansuhkan.

Namun saingan baru akan dilahirkan iaitu liga simpanan serta liga Bawah 17 tahun (B-17).

Berita Harian X