Selasa, 8 March 2022 | 7:31am
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane meledak gol kelima pasukannya ketika menentang Everton di Stadium Tottenham Hotspur dekat London. - REUTERS
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane meledak gol kelima pasukannya ketika menentang Everton di Stadium Tottenham Hotspur dekat London. - REUTERS

Conte cabar Spurs kejar empat teratas liga

LONDON: Antonio Conte mencabar Tottenham untuk cuba mendapatkan kedudukan empat teratas Liga Perdana selepas membelasah Everton 5-0 yang terus menolak pasukan pelawat itu jauh ke zon penyingkiran.

Skuad kendalian Conte mengamuk di utara London selepas jaringan sendiri Michael Keane memulakan pesta gol pada babak pertama.

Son Heung-min menambah kelebihan Tottenham dan Harry Kane meledak gol ketiga sebelum tamat babak pertama.

Sergio Reguilon menjadikan 4-0 sebelum Kane sekali lagi menemui gawang untuk melengkapkan kemenangan.

Kemenangan kedua berturut-turut Tottenham membawa mereka ke kedudukan ketujuh, tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal yang bermain kurang satu perlawanan berbanding seteru utama London itu.

Conte sebelum ini mengeluh mengenai kehidupan "turun naik" sebagai pengurus Tottenham sambil berkata sejarah kelab yang tidak konsisten menyebabkan dia perlukan masa untuk menghadirkan impak.

Tempoh beberapa minggu ini menjelaskan kebimbangan Conte dengan kejayaan menewaskan juara bertahan, Manchester City diikuti kekalahan berdepan Burnley.

"Perlawanan yang bagus. Juga jawapan yang bagus selepas kekalahan terakhir itu," kata Conte. "Ia belum mencukupi. Pemain dan saya mahu bertarung di kedudukan teratas liga.

"Kami perlu mengambil tanggungjawab dalam 12 perlawanan terakhir untuk memberikan apa sahaja. Saya mahukan jawapan daripada pemain saya ketika berdepan Manchester United pada Sabtu.

"Saya mahu melihat sama ada kami akan menjadi lebih baik dalam perlawanan mencabar menentang pasukan penting yang bertarung dengan kami untuk empat tempat teratas." - AFP

Berita Harian X