Isnin, 7 March 2022 | 2:21pm
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof dalam sidang media selepas menghadiri sesi pertemuan dan dialog antara jawatankuasa PAFA bersama wakil blok PBMP di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, hari ini. STR/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof dalam sidang media selepas menghadiri sesi pertemuan dan dialog antara jawatankuasa PAFA bersama wakil blok PBMP di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, hari ini. STR/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

PAFA digantung enam bulan

IPOH: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) menggantung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) selama enam bulan bagi membolehkan proses pemilihan semula kepimpinan jawatankuasa baharu dibuat.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari terlebih dahulu, sebelum disusuli tempoh enam bulan penggantungan bagi membolehkan pemilihan jawatankuasa baharu dibuat dalam tempoh itu.

"Jika mereka cepat mengadakan pemilihan jawatankuasa baharu itu, maka cepatlah kemelut ini selesai dan kita akan semak semula tempoh penggantungan itu.

"Kita turut memutuskan bahawa ahli jawatankuasa PAFA yang masih sah sehingga kini ialah yang dipilih dan diputuskan dalam pemilihan bagi sesi 2018-2021," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pertemuan dan dialog antara jawatankuasa PAFA yang dihadiri Pemangku Presiden dan Pemangku Setiausaha Kehormat PAFA, Datuk Mohammad Yadzan Mohammad dan Datuk Seri G Irudianathan bersama wakil blok Persatuan Bolasepak Melayu Perak (PBMP) yang dihadiri Tajul Hasnan Omar di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, hari ini.

Ibrahim mengakui kemelut dalaman yang melanda PAFA berpunca dari kegagalan persatuan itu mengikuti perlembagaan persatuan dalam memecat 12 ahli gabungannya.

Menurutnya, berdasarkan semakan menerusi dokumen kedua-dua pihak mendapati pemecatan 12 ahli gabungan PAFA itu yang kemudiannya membentuk blok PBMP dibuat tidak secara teratur serta tidak berpandukan perlembagaan PAFA.

Katanya, keputusan daripada kongres luar biasa (EGM) PAFA yang dibuat 12 ahli gabungan yang dipecat itu juga disahkan tidak boleh terpakai disebabkan masalah teknikal iaitu berhubung dengan kelayakan ahli gabungan.

"Kita juga sudah maklumkan bahawa PAFA, bersama dengan ahli yang dipecat secara tidak berperlembagaan itu perlu adakan semula kongres bagi pemilihan jawatankuasa yang baharu bagi menerajui PAFA.

"Oleh sebab pemecatan itu tidak sah, ahli gabungan berkenaan perlu juga dibabitkan dalam kongres pemilihan itu nanti namun masih lagi tertakluk kepada perlembagaan PAFA terutamanya mengenai kehilangan kelayakan sekiranya gagal membayar yuran sebagai ahli gabungan.

"Berdasarkan rekod, kita dapati 12 ahli gabungan terbabit tidak layak mengadakan EGM kerana mereka tidak membayar yuran keahlian PAFA. Sebab itu mereka hilang kelayakan dan hak untuk adakan EGM," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keabsahan segala bentuk urusan dan perjanjian dengan pihak luar semasa dalam tempoh penggantungan bahkan sebelum dari itu lagi termasuk dalam urusan jualan Perak FC, Ibrahim berkata perkara itu akan diserah serta ditentukan oleh pihak peguam.

Berita Harian X