Sabtu, 5 March 2022 | 8:14pm
Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali (kanan) bersama dengan seorang pemainnya. - Foto ihsan FB TFC II
Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali (kanan) bersama dengan seorang pemainnya. - Foto ihsan FB TFC II

'Doakan kami cepat sembuh'

KUALA TERENGGANU: "Doakan kami cepat sembuh dan boleh kembali semula ke padang,". Demikian rayuan ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali selepas disahkan positif COVID-19 bersama empat pemainnya.

Jurulatih berusia 46 tahun itu berkata beliau dan pemainnya tidak menduga dijangkiti virus itu lebih-lebih lagi prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dititikberatkan menjelang aksi pertama Liga Perdana bertemu UiTM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bagaimanapun beliau menerima ujian dan takdir itu dengan hati yang terbuka dan memohon doa seluruh peminat bola sepak negara agar kembali sihat bagi meneruskan tugasan sebagai jurulatih.

"Saya bersama empat pemain disahkan positif COVID-19 bermula 3 Mac lalu dan sedang menjalani kuarantin sehingga 9 Mac ini. Namun saya bersyukur hanya mengalami gejala demam yang tidak kuat," katanya.

Semalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa menunda pertemuan TFC II menentang UiTM FC yang dijadualkan berlangsung pada malam ini selepas 12 pemain skuad The Lions Troops itu didapati positif COVID-19 manakala baki barisan pemain pula berstatus kontak rapat bergejala.

MFL turut menunda pertemuan skuad Terengganu FC (TFC) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan juga pada malam ini selepas 11 pemain dan 11 pegawai pasukan Sri Pahang FC disahkan positif .

"Memang kami kecewa dengan penundaan perlawanan pada saat akhir malam ini, lebih-lebih lagi pemain sudah bersedia untuk turun padang dalam aksi pertama itu walaupun tanpa saya," kata Badrul.

Berita Harian X