Sabtu, 5 March 2022 | 11:00am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola dan jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick bakal membuat perhitungan dalam saingan EPL di Etihad, tengah malam Isnin ini. - Foto Optus Sport.
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola dan jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick bakal membuat perhitungan dalam saingan EPL di Etihad, tengah malam Isnin ini. - Foto Optus Sport.

Blues goyah, Guardiola, Rangnick terdesak

KOLUM APA KATA EPL

Minggu ini, saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hangat dihiasi dengan kisah bilionair Russia, Roman Abramovich terpaksa melepaskannya pemilikannya ke atas kelab Chelsea, angkara serangan negaranya ke atas Ukraine.

Setakat awal malam tadi belum ada keputusan rasmi mengenai status pembelian kelab gergasi Inggeris itu. Sebelum ini, dia dikhabarkan sedang menanti tawaran untuk menjual kelab itu pada harga 3 bilion pound (RM16.86 bilion).

Jutawan Switzerland, Hansjorg Wyss dan orang terkaya Britain, Jim Racliffe yang juga peminat The Blues, dikatakan berminat membeli kelab London itu. Abramovich membeli Chelsea pada harga 140 juta pound (RM781.28 juta) pada 2003.

Dia dianggap pemilik terbaik oleh peminat Chelsea di mana sepanjang era beliau, 21 trofi berjaya diraih kelab Stamford Bridge itu. Dengan pemergian Abramovich, adakah The Blues mampu meneruskan legasi kecemerlangan mereka di tangan pemilik baharu?

Beberapa hari lalu, jurulatih Thomas Tuchel tanpa berselindung melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan kelab itu. Malah pemain mereka juga dikatakan turut tertekan seperti ditunjukkan ketika bertemu Luton dalam aksi pusingan kelima Piala FA pertengahan minggu.

The Blues terpaksa bangkit dua kali, sebelum bintang mereka, Romelu Lukaku menjaringkan gol kemenangan 3-2 pada minit ke-78. Dalam aksi EPL minggu ini, mereka akan bertandang ke Burnley dalam usaha menghidupkan peluang memburu kejuaraan liga.

Soalnya, adakah skuad The Blues mampu menangani situasi ini? Ketika ini mereka ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City meskipun berkelebihan dua aksi dan 10 mata di belakang Liverpool di tangga kedua, kurang satu aksi. Kita tunggu dan lihat.

Sementara itu, aksi tumpuan minggu ini sudah pasti antara City dan jirannya, Manchester United di Etihad tengah malam esok. Pertemuan tetangga Manchester sangat penting bagi kedua-dua pasukan untuk meraih mata penuh.

City perlu tiga mata untuk terus menjarakkan kedudukan daripada Liverpool di puncak liga. Ketika ini mereka di depan dengan kelebihan enam mata, tapi lebih satu aksi. Jumlah perbezaan gol ketika ini tidak memberi kelebihan kepada skuad Pep Guardiola.

United dibawah kendalian Ralf Rangnick pula sangat mendambakan kemenangan di Etihad bagi menghidupkan terus peluang menduduki empat teratas liga. Ketika ini mereka menghimpunkan 47 mata untuk berada di tempat keempat.

Kedudukan ini dilihat sangat rapuh kerana hanya menunggu masa untuk dipintas Arsenal (tempat keenam) dan Tottenham (ketujuh) yang masing-masing memiliki kelebihan tiga dan dua aksi. Malah West Ham yang menduduki tangga kelima mampu menyingkirkan mereka.

Sementara itu, Liverpool akan berdepan ujian getir apabila menerima kunjungan West Ham United awal pagi esok. Lawannya itu ketika ini turut memiliki peluang baik untuk muncul empat pasukan terbaik liga yang menjanjikan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Ramalan minggu ini:

Leicester 2-1 Leeds

Burnley 1-2 Chelsea

Aston Villa 2-2 Southampton

Norwich 1-2 Brentford

Newcastle 2-1 Brighton

Wolves 1-1 C Palace

Liverpool 2-0 West Ham

Watford 1-3 Arsenal

Man City 0-0 Man United

Tottenham 2-1 Everton

Berita Harian X