Jumaat, 4 March 2022 | 11:07pm
Aksi pemain JDT, Bergson Da Silva (jersi merah biru) dalam saingan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. JDT menang 1-0 - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers

JDT 'bermandi peluh' sebelum jinak Penang FC

ISKANDAR PUTERI : Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum menang 1-0 ke atas Penang FC pada saingan pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Berstatus juara liga lapan musim berturut-turut, pengendali JDT, Benjamin Mora melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama apabila menurunkan pemain import baharu Moussa Sidibe dan turut menyenaraikan Afiq Fazail dan Shahrul Saad.

Peluang terbaik JDT merungkai jaringan hadir pada minit ke-18 selepas bola umpanan Carli De Murga tepat kepada Fernando Forestieri yang bertindak melambungkan bola, namun penjaga gol pelawat, Khatul Anuar Md Jalil menarik nafas lega selepas bola sekadar melewati palang gol tatkala sudah tertewas.

Penyerang JDT, Arif Aiman (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Penyerang JDT, Arif Aiman (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Walaupun menguasai permainan tapi agak sukar buat anak didik Mora memecah benteng skuad kendalian Tomas Trucha yang beraksi secara kompak di posisi pertahanan dengan meletakkan lima dan enam pemain menghalang gerakan berbahaya skuad Harimau Selatan sehingga tamat babak pertama dengan kedudukan 0-0.

Bersambung babak kedua, Mora meletak Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan Sidibe yang kurang menyerlah di posisi tengah. Nazmi hampir mencipta jaringan pada minit ke-54 selepas merembat bola deras di luar kotak penalti namun sempat ditepis Khatul Anuar.

Lebih malang buat tuan rumah apabila peluang terhidang pada minit ke-65 dipersia-siakan Forestieri yang sepatutnya mampu menjaringkan selepas gagal menyudahkan bola tampanan Khatul Anuar berpunca daripada rembatan deras Ariff Aiman Hanapi.

Selepas bertali arus mengasak ke kubu lawan, akhirnya gol yang diidamkan JDT menjelma pada minit ke- 70 apabila bola sepakan lintang pemain gantian, Syahmi Safari tepat kepada Bergson Da Silva yang menanduk ke penjuru kiri gawang menewaskan Khatul Anuar.

Jaringan tunggal Da Silva sudah memadai untuk memastikan skuad Harimau Selatan memulakan kempen liga dengan langkah kanan dengan kemenangan 1-0.

Pemain JDT, Fernando Martin Forestieri (tengah), diasak pemain Penang FC dalam saingan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pemain JDT, Fernando Martin Forestieri (tengah), diasak pemain Penang FC dalam saingan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Harian X