Jumaat, 4 March 2022 | 7:20pm
Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel (tengah) bersama beberapa pemainnya memperagakan jersi baharu pasukan di Kuantan, baru-baru ini. Sri Pahang dijadualkan bertemu TFC di Stadium Darul Makmur malam esok, namun terpaksa ditunda selepas skuad berkenaan dijangkiti COVID-19. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel (tengah) bersama beberapa pemainnya memperagakan jersi baharu pasukan di Kuantan, baru-baru ini. Sri Pahang dijadualkan bertemu TFC di Stadium Darul Makmur malam esok, namun terpaksa ditunda selepas skuad berkenaan dijangkiti COVID-19. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Aksi Sri Pahang, TFC esok ditunda akibat COVID-19

KUALA LUMPUR: Perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC (TFC) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam esok ditunda selepas skuad Tok Gajah disahkan positif COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata pihaknya menerima maklumat mengenai masalah yang menimpa 20 pemain dan pegawai membabitkan pasukan Pantai Timur itu hari ini.

Menurutnya, Sri Pahang yang menjalani tempoh kuarantin bermula hari ini turut memohon penundaan perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa ini dan perlawanan pertama Piala FA menentang Manjung City FC di Stadium Darul Makmur pada 12 Mac.

Katanya, UiTM FC turut berdepan masalah sama apabila 12 pemain didapati positif COVID-19 manakala baki barisan pemain pula berstatus kontak rapat bergejala sekali gus menyaksikan perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok dan aksi Piala FA bertemu Kuching City FC pada 15 Mac terpaksa ditunda.

Sementara satu lagi pasukan dari Liga Perdana, Perak FC mengesahkan seramai enam pemain positif COVID-19 dan 14 pemain kontak rapat bergejala sekali gus perlawanan bertemu Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh, esok dan pertemuan dengan Kijang Rangers FC di venue yang sama pada 14 Mac ditunda.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu MFL adalah kelab hanya layak untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak COVID-19 atau kontak rapat bergejala.

"Hari ini kami menerima laporan berhubung pasukan yang berdepan masalah positif COVID-19. Antaranya adalah Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC di mana perlawanan ketiga-tiga pasukan ini terpaksa ditunda sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin.

"Satu perkhabaran yang amat sukar buat Liga Malaysia yang membuka tirai pada malam ini dan esok. Saya mendoakan kesejahteraan buat Sri Pahang FC, Perak FC, UiTM FC, PDRM FC serta Skuad Projek FAM-MSN dan saya berharap pasukan lain sentiasa mengamalkan SOP bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

"MFL ingin merakamkan penghargaan kepada kelab-kelab yang mengambil tindakan pantas dalam isu gejala COVID-19 ini. Ia membuktikan SOP membabitkan sukan bola sepak berada penyeliaan di peringkat tertinggi bagi memastikan industri Liga Malaysia bebas daripada ancaman wabak ini," katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Semalam, MFL mengumumkan dua aksi Liga Perdana iaitu perlawanan Selangor 2 dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam, esok dan PDRM FC menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin ini terpaksa ditunda juga kerana jangkitan COVID-19.

Berita Harian X