Jumaat, 4 March 2022 | 6:50pm
MFL memaklumkan penerima vaksin primer Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak sebagai syarat utama masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga M 2022. - Foto hiasan NSTP
MFL memaklumkan penerima vaksin primer Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak sebagai syarat utama masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga M 2022. - Foto hiasan NSTP

Penerima vaksin Sinovac tiada penggalak, tak boleh masuk stadium

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan penerima vaksin primer Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak sebagai syarat utama masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya dimaklumkan mengenai pembaharuan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara yang mana penerima vaksin primer Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Beliau berkata, selaras dengan SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuatkuasa di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, penganjur Liga M termasuk penonton dikehendaki mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.

Katanya, selain penerima vaksin primer Sinovac berusia 18 tahun ke atas, warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin juga perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP/Owee Ah Chun

"Hari ini MFL menerima surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara berhubung maklumat status vaksinasi bagi pegawai, pemain, petugas dan penonton bagi perjalanan Liga Malaysia pada tahun 2022.

"Ini kerana tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 Februari 2022 kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022 di mana status vaksinasi lengkap akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya belum mendapatkan dos penggalak.

"Selain itu, penerima lengkap vaksin Pfizer dan AstraZeneca tanpa suntikan dos penggalak yang berusia 60 tahun ke atas dikira status vaksinasi tidak lengkap dan sekiranya mereka masih tidak mengambil suntikan dos penggalak sehingga 31 Mac 2022, mereka tidak dibenarkan turun ke stadium sebagaimana individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan.

"Hanya kanak-kanak umur 13 tahun ke atas dibenarkan hadir ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, MFL menjelaskan SOP kemasukan penonton ke stadium yang dikeluarkan pihaknya adalah mengikut ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Fasa 4 di mana kuota kemasukan penonton bagi setiap perlawanan adalah 50 peratus daripada kapasiti stadium atau maksimum 20,000.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, hanya penonton yang lengkap vaksinasi serta dos penggalak dibenarkan masuk ke stadium.

MFL juga menjelaskan individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik dan individu kontak rapat bergejala dinasihatkan tidak hadir ke stadium.

Berita Harian X