Khamis, 3 March 2022 | 8:18am
Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick (kanan) yakin Cristiano Ronaldo akan kembali menemui sentuhan golnya. - Foto AFP
Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick (kanan) yakin Cristiano Ronaldo akan kembali menemui sentuhan golnya. - Foto AFP

Rangnick masih harapkan Ronaldo

MANCHESTER: Ralf Rangnick akan tetap mempertaruhkan bintang kontroversinya Cristiano Ronaldo pada aksi tetangga Manchester Ahad ini.

Pengendali sementara United itu berharap rehat seminggu akan membantu bintang veteran itu menemui sentuhannya di depan gawang selepas hanya meledak satu gol dalam 10 perlawanan terakhirnya.

Ronaldo, 37, memulakan perlawanan buat kali kelima dalam tempoh 15 hari ketika United seri tanpa jaringan menentang Watford.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu terlepas deretan peluang di depan gawang Watford tetapi Rangnick menegaskan dia tidak mempunyai banyak pilihan.

Marcus Rashford antara pilihan yang ada untuk kunjungan ke Etihad bertemu juara bertahan dan pendahulu liga Manchester City, dengan Jadon Sancho dan Anthony Elanga menjadi taruhan di kini dan kanannya.

Edinson Cavani mempunyai masalah di bahagian pangkal paha tetapi masih boleh diturunkan sebagai pemain gantian.

Dalam 13 perlawanan di bawah Rangnick, United mencipta 160 peluang, lebih daripada mana-mana kelab dalam tempoh berkenaan, tetapi hanya 20 berjaya dijelmakan sebagai gol.

Rangnick bagaimanapun yakin jika Ronaldo kembali pada tahap kecergasan terbaiknya, mampu mengulangi ketajaman seperti 20 perlawanan sebelumnya di mana dia meledak 14 gol.

Pertembungan di Etihad Ahad ini penting buat kedua-dua pasukan dengan City mahu melebarkan jurang di puncak liga dan United perlu mengumpul mata penuh untuk bersaing merebut tiket ke Liga Juara-Juara Eropah.

City kini enam mata di depan Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan. United pula hanya berkelebihan dua mata berbanding West Ham dan Arsenal dalam perebutan tangga keempat, tetapi skuad kendalian Mikel Arteta bermain kurang tiga perlawanan. - AGENSI

Berita Harian X