Rabu, 2 March 2022 | 10:27am
Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick tidak ada dalam senarai calon pengendali tetap yang akan dilantik musim panas ini. - Foto AFP
Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick tidak ada dalam senarai calon pengendali tetap yang akan dilantik musim panas ini. - Foto AFP

Rangnick bukan calon Man United

MANCHESTER: Ralf Rangnick tidak berada dalam senarai calon pengendali tetap Manchester United, sekali gus membuka pintu buat Mauricio Pochettino (Paris Saint-Germain) atau Erik ten Hag (Ajax) mengisi jawatan berkenaan.

Kelab mendedahkan mereka meneruskan usaha mencari pengganti tetap Ole Gunnar Solskjaer, yang dipecat United November lalu dan digantikan dengan pengendali sementara Rangnick.

Pengendali dari Jerman berusia 63 tahun itu, mempunyai perjanjian dua tahun sebagai penasihat di Old Trafford tetapi peluang untuk menjadi pengendali tetap dilihat tipis.

"Kami sedang melalui proses melantik pengendali tetap yang akan memulakan tugas musim panas ini dengan sasaran membawa pasukan kembali bersaing untuk gelaran domestik dan Eropah," kata pengarah bola sepak United John Murtough.

Bekas pengendali Spurs, Pochettino, 50, adalah calon utama jawatan itu sejak Solskjaer dipecat. Namun Rangnick lebih memandang tinggi kepada Ten Hag, 52, yang mengharungi lima tahun penuh kejayaan di Amsterdam.

Menurut Murtough, sasaran utama musim ini ialah menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

"Bagaimanapun ia bukan objektif utama Manchester United - dan semua orang di kelab ini fokus untuk bersaing merebut trofi utama," katanya. - AGENSI

Berita Harian X