Ahad, 27 Februari 2022 | 8:41am
Reaksi penyerang Manchester United Cristiano Ronaldo selepas gagal menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Old Trafford. - Foto REUTERS
Reaksi penyerang Manchester United Cristiano Ronaldo selepas gagal menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Old Trafford. - Foto REUTERS

Watford terlalu kebal buat Man United

MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United Ralf Rangnick berkata dia sudah melakukan tugasnya selepas Red Devils mensia-siakan deretan peluang ketika seri 0-0 menentang Watford di Old Trafford.

Ketumpulan Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Anthony Elanga menyaksikan United kini hanya dua mata di depan Arsenal yang bermain kurang tiga perlawanan dalam pemburuan tempat keempat Liga Perdana Inggeris.

"Tugas kami sebagai jurulatih ialah membantu pasukan mencipta peluang secukupnya. Jumlah peluang menjaringkan gol hari ini sudah cukup untuk memenangi perlawanan seperti ini.

"Ada ketika kami tidak bernasib baik, saat percubaan Cristiano terkena tiang, tetapi kami juga mempunyai peluang satu lawan satu dengan penjaga gol. Ia bukan nasib tetapi soal ketajaman dan kecekapan," kata Rangnick.

Sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan menyampaikan mesej keamanan yang ditujukan kepada serangan Russia ke atas Ukraine.

Rangnick turut memakai lencana "no war" (tiada peperangan), manakala bendera Ukraine dikibarkan oleh penyokong di Old Trafford.

Kekalahan 4-1 di Vicarage Road ketika kedua-dua pasukan bertemu November lalu menjadi penentu kepada masa depan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali United.

Teka-teki berkenaan status kapten Harry Maguire terjawab apabila Rangnick menyerahkan lilitan kapten kepada Fernandes manakala bek tengah England itu bermula di bangku simpanan.

Ia ternyata mencetus semangat buat Fernandes yang mempunyai peluang meledak hatrik di babak pertama tetapi ketiga-tiga percubaannya gagal menemui sasaran.

Ronaldo yang hanya meledak satu gol dalam 10 perlawanan, tidak bernasib baik apabila percubaannya terkena tiang dan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.

Elanga yang menyelamatkan United ketika seri 1-1 di Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, memulakan permainan tetapi gagal menjaringkan gol selepas percubaannya tersasar. - AFP

Berita Harian X