Ahad, 13 Februari 2022 | 9:44am
Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo ketika pertemuan Liga Perdana menentang Southampton di Manchester, Britain. - EPA
Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo ketika pertemuan Liga Perdana menentang Southampton di Manchester, Britain. - EPA

Rangnick buntu, Ronaldo terus kemarau jaringan

MANCHESTER, England: Kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United pada penghujung musim mencetuskan fenomena dengan dia dijangka akan mengembalikan kegemilangan buat gergasi Liga Perdana itu.

Namun selepas enam bulan, pengaruh pemain veteran itu semakin berkurangan sama seperti dialami saham syarikat itu.

Semua bermula baik buat penyerang Portugal itu yang melengkapkan kepulangan ke kelab dia pernah menang lapan kejuaraan utama dari 2003-2009.

Gol penting lewat permainan dalam Liga Juara-Juara di Old Trafford berdepan Atalanta dan Villarreal segera memberikan impian buat penyokong akan kebangkitan United yang menunjukkan usia 37 tahun tidak memberi kesan kepadanya.

Gol dijaringkan itu bagaimanapun sudah kering. Ronaldo kini gagal meledak dalam mana-mana enam perlawanan membabitkan semua kejohanan.

Penyokong United pada mulanya gembira ketika bertemu Southampton malam tadi apabila mereka bermula baik, mencipta banyak peluang tetapi hilang sentuhan, sama seperti berlaku ketika menentang Middlesbrough dan Burnley.

"Dia pastinya berharap akan menjaringkan gol, saya juga mengharapkannya," kata jurulatih, Ralf Rangnick.

"Hari ini dia ada peluang, satu daripadanya dikeluarkan di garisan gol, dan dia melalui tempoh yang bagus pada babak kedua.

"Sekali lagi, bukan hanya Cristiano tetapi sebagai sebuah pasukan, kami mencipta peluang mencukupi tetapi gagal menjaringkan gol. Ia masalah besar."

Satu lagi masalah perlu diselesaikan Rangnick ialah bagaimana berdepan penurunan prestasi Ronaldo tetapi masih mahu menjadi tumpuan utama. - REUTERS

Berita Harian X