Khamis, 10 Februari 2022 | 5:47pm
Suasana tegang ketika insiden pergaduhan antara pemain TFC II dan Penang FC dalam saingan Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Suasana tegang ketika insiden pergaduhan antara pemain TFC II dan Penang FC dalam saingan Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Penang FC tak cadang panjangkan isu pergaduhan

KUALA LUMPUR: Pengurusan Penang FC tidak bercadang memanjangkan insiden pergaduhan pemain mereka dengan Terengganu FC II (TFC II) ketika aksi Piala Menteri Besar Terengganu

di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Penang FC dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sudah mengarahkan pengarah teknikal dan ketua jurulatih pasukan menyediakan laporan penuh insiden itu bagi tujuan penilaian dan seterusnya membantu penganjur, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekiranya terdapat keperluan membuat siasatan lanjut.

"Dalam hal ini, pihak pengurusan tidak berpeluang mendapatkan gambaran dari aspek persediaan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar stadium jika perlawanan diteruskan.

"Pihak pengurusan perlu membuat pendirian tegas apabila berada dalam situasi berkemungkinan terdapatnya kecenderungan keadaan luar kawalan sekiranya perlawanan diteruskan.

"Sehubungan dengan kekhuatiran dari aspek keselamatan pemain kedua-dua pasukan, khasnya dalam mengelak sebarang kecederaan atau situasi memudaratkan dalam dan luar perlawanan, pihak pengurusan meminta Penang FC memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah untuk memenangi perlawanan itu sebagai tanda semangat kesukanan dan meraikan kejohanan yang berprestij bagi negeri Terengganu.

"Dalam hal ini, pihak pengurusan sentiasa menyokong dan mengalu-alukan tindakan penambahbaikan dari aspek keselamatan dan apa-apa usaha dalam memperbaiki kelemahan penganjuran oleh pasukan tuan rumah di masa akan datang," kata kenyataan Penang FC.

Selain itu, Penang FC juga mengambil maklum mengenai isu kekeliruan dan tindakan agresif dalam situasi tegang yang menyebabkan tindakan fizikal ke atas beberapa pemain mereka hingga menyebabkan seorang mengalami kecederaan di muka.

Kelab itu juga menjelaskan tindakan Adib Raof yang cuba meleraikan insiden itu disalah erti sebagai satu bentuk provokasi oleh pemain lawan yang menyebabkan dia mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan secara fizikal.

"Sehubungan itu, sama-samalah kita berdoa dan berharap kecederaan bahagian hidung yang dialami Adib Raof tidak berpanjangan melalui ujian MRI yang akan dijalankan hari ini (semalam). Kita juga berdoa pemain TFC II iaitu Ridzuan Razali juga tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden berkenaan.

"Dalam hal ini, aspek keselamatan luar stadium dalam mana-mana perlawanan juga sentiasa diambil kira dalam situasi provokasi menular melalui media sosial yang boleh mendorong mana-mana individu tidak berkenaan mengambil tindakan tidak bijaksana yang membahayakan pemain dan pegawai pasukan.

"Pihak pengurusan juga memohon maaf di atas apa-apa kesilapan yang berlaku sepanjang tempoh pasukan Penang FC menyertai pertandingan yang berprestij ini," katanya.

Berita Harian X