Khamis, 10 Februari 2022 | 7:02am
Pemain Manchester City, Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad. - AFP
Pemain Manchester City, Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad. - AFP
Penyerang Manchester City, Raheem Sterling diasak keras pemain Brentford, Mads Roerslev. - Foto Reuters
Penyerang Manchester City, Raheem Sterling diasak keras pemain Brentford, Mads Roerslev. - Foto Reuters

City kukuhkan cengkaman di puncak liga

LONDON: Manchester City mencipta jurang 12 mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan 2-0 mengatasi Brentford manakala usaha Tottenham untuk ke kelompok empat teratas berdepan ancaman selepas kekalahan dramatik 3-2 kepada Southampton awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam liga kepada 14 perlawanan hasil penalti babak pertama Riyad Mahrez dan percubaan Kevin De Bruyne selepas rehat di Stadium Etihad.

City diikat 1-1 di Southampton dalam aksi liga sebelum ini tetapi mereka kembali ke landasan sebenar untuk terus memberikan tekanan terhadap pasukan kedua, Liverpool yang akan menanti kehadiran Leicester awal pagi esok dalam satu daripada baki dua perlawanan mereka berbanding juara bertahan itu.

Pemain Brentford, Mathias Jensen (kiri) dan Sergi Canos (kanan) mengasak pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne (tengah). - Foto EPA
Pemain Brentford, Mathias Jensen (kiri) dan Sergi Canos (kanan) mengasak pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne (tengah). - Foto EPA

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain. Sukar apabila lawan bertahan dengan 10 pemain," kata Guardiola.

"Liverpool mempunyai baki dua perlawanan, kemudian kami akan melihat jurangnya. Semua pasukan adalah lawan yang sukar, tetapi ia mengagumkan pada peringkat ini untuk memiliki 60 mata. Kami telah melakukannya dengan sangat baik."

Pada aksi itu, City membuat enam perubahan terhadap pasukan yang menewaskan Fulham pada Piala FA hujung minggu lalu dengan Jack Grealish dan Kyle Walker digugurkan hanya sehari selepas Guardiola mempertahankan mereka kerana keluar pada malam hari di Manchester.

Video di media sosial menunjukkan Grealish, Walker dan Mahrez berada di luar venue dekat Manchester.

Namun Guardiola tidak bermasalah dengan pemainnya sambil berjenaka mereka boleh didenda kerana tidak mengajaknya.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola sedang memberi arahan kepada pemain gantian Jack Grealish (kanan). - Foto REUTERS
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola sedang memberi arahan kepada pemain gantian Jack Grealish (kanan). - Foto REUTERS

City tidak terganggu dengan keadaan itu apabila mendominasi sejak mula hingga penamat, akhirnya memecahkan kebuntuan selepas 40 minit.

Larian Raheem Sterling menyebabkan bentesan daripada Mads Roerslav yang memberikan penalti disempurnakan pemain sayap Algeria, Mahrez.

City meledak jaringan kedua pada minit ke-69 apabila penjaga gol Brentford, David Raya menghantar terus kepada Sterling.

Walaupun Raya menyelamatkan percubaan Sterling, Kevin De Bruyne meledak hasil bola yang membias ke gawang terbuka.

Reaksi penyerang Southampton, Che Adams (kiri) rai gol bersama Armando Broja ketika menentang di Tottenham Hotspur. - Foto Reuters
Reaksi penyerang Southampton, Che Adams (kiri) rai gol bersama Armando Broja ketika menentang di Tottenham Hotspur. - Foto Reuters

Di Stadium Tottenham Hotspur, gol sendiri Jan Bednarek pada minit ke-18 meletakkan tuan rumah di depan.

Southampton menyamakan kedudukan lima minit kemudian apabila Armando Broja mengatasi Hugo Lloris.

Son Heung-min meledak buat Tottenham selepas 70 minit.

Southampton merasakan Broja dikasari oleh Emerson Royal tetapi David Coote membenarkan permainan diteruskan dan Lucas Moura menghantar kepada Son yang meledak dari jarak dekat.

Mohamed Elyounoussi menyamakan kedudukan pada minit ke-80 hasil tandukan selepas menerima hantaran Ward-Prowse.

Che Adams mencetak nama selaku penjaring dua minit kemudian sekali lagi hasil hantaran tepat Ward-Prowse. - AFP

Aksi penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min meledak gol ketika menentang Southampton. - Foto EPA
Aksi penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min meledak gol ketika menentang Southampton. - Foto EPA

Berita Harian X