MANCHESTER: Manchester City bangkit daripada permulaan hambar dengan dua gol Riyad Mahrez membantu mereka mengatasi kelab divisyen dua Fulham 4-1 dalam saingan pusingan keempat Piala FA Inggeris di Stadium Etihad.
Kelab Liga Kejuaraan itu mendahului permainan menerusi Fabio Carvalho seawal minit keempat sebelum Ilkay Gundogan menyamakan kedudukan dua minit kemudian untuk pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, hasil umpanan Mahrez.
Carvalho, 19, yang hampir menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan, menyudahkan gerakan sempurna pelawat tetapi skuad kendalian Marco Silva gagal mengekalkan kelebihan itu.
City mendahului permainan pada minit ke-13 apabila John Stones menanduk masuk bola sepakan sudut Kevin De Bruyne untuk gol keduanya musim ini.
Selepas rehat, City memastikan kemenangan menerusi Mahrez yang menyempurnakan sepakan penalti minit ke-53 apabila Jack Grealish dijatuhkan.
Tiga minit kemudian, De Bruyne sekali lagi membuat umpanan dan kali ini ia disempurnakan Mahrez untuk gol keduanya dan keempat buat City.
"Ia pertembungan tipikal Piala FA. Mereka bermula lebih baik, menjaringkan gol terlebih dulu. Saya gembira kami pantas menjaringkan gol dan mendahului.
"Secara keseluruhan ia perlawanan yang baik dan kami mengawalnya. Piala FA amat penting untuk semua orang di Man City, terutama pemain-pemain. Saya harap kami mara ke final," kata pemain tengah City Fernandinho. - REUTERS