KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon memerlukan bantuan daripada jurulatih tempatan dalam usaha untuk membentuk skuad mantap terutama bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.
Tempoh masa yang singkat dan kekurangan pengetahuan mengenai bola sepak Malaysia dianggap menjadi antara halangan besar yang perlu ditempuhi pengendali dari Korea Selatan itu untuk mencari formula terbaik buat Harimau Malaya.
Pan Gon dijangka tiba di Malaysia bulan depan dan Liga Malaysia (Liga M) pula hanya akan memulakan saingan pada awal Mac yang mana bekas pengendali Hong Kong itu hanya ada masa lebih kurang tiga bulan sebelum memimpin Harimau Malaya ke kempen kelayakan Piala Asia.
Bekas pengendali Harimau Malaya, B Sathianathan beranggapan Pan Gon memerlukan bantuan daripada seorang lagi pembantu jurulatih yang terdiri daripada 'anak tempatan' walaupun dia sudah membawa empat pembantunya termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis.
"Bagi memudahkan dia (Pan Gon), dia mesti ada seorang penolong jurulatih tempatan yang berkelayakan. Seorang yang ada sijil tinggi dan ada pengalaman mendalam serta boleh memberi gambaran yang sebetulnya mengenai pemain, budaya, cara permainan dan latar belakang pemain.
"Jika tidak, dia (Pan Gon) perlu ambil masa lebih lama. Dulu masa Karl-Heinz Weigang, dia berjaya pergi ke Olimpik sebab bantuan dari penolong jurulatih tempatan.
"Walaupun dia (Weigang) ada bawa jurulatih kecergasan dari Jerman, tapi banyak bergantung kepada jurulatih tempatan yang mana ramai orang tidak tahu. Datuk Mohamad Bakar juga ada bantu Weigang.
"Saya sudah bekerja dengan tujuh jurulatih import, saya tahu kalau mereka buat andaian sendiri akan ambil masa. Saya fikir FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) pun akan tegaskan benda ini, FAM mungkin ada perancangan untuk letak seorang jurulatih tempatan," katanya kepada BH Sukan.
Berdasarkan masa yang suntuk untuk persiapan ke kempen kelayakan Piala Asia, tampak sukar untuk Pan Gon memastikan skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir kejohanan itu di China, tahun depan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika mengumumkan pelantikan Pan Gon pada Jumaat lalu juga menyatakan bahawa pelantikan jurulatih baharu Harimau Malaya itu belum menjanjikan Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia atau sebagainya.
Malah, ketika ditanya adakah ada harapan besar untuk Harimau Malaya layak ke Piala Asia tahun depan, Sathianathan menjelaskan perkara itu agak sukar untuk direalisasikan berdasarkan keadaan semasa pasukan negara.
"Itu saya susah nak jawab (harapan ke pusingan akhir Piala Asia), kita jangan harap sangat. Kalau ikut hati, saya mengharapkan kita layak untuk meredakan keadaan dan sebagainya.
"Sukar, cuma kalau dipilih pemain yang sesuai, kemungkinan boleh. Tapi ia terpulang kepada jurulatih yang baharu ini, namun jangan harapkan perubahan yang drastik.
"Apa yang kita kena buat, semua jurulatih tempatan dalam liga memberi kerjasama kepada jurulatih pasukan kebangsaan kalau dia minta data atau ujian kecergasan. Apa yang dia perlu buat adalah berhubung dengan semua jurulatih kelab dan minta pandangan mereka," katanya.