Ahad, 16 Januari 2022 | 11:40am
Penyerang Manchester United, Anthony Martial menafikan dia tidak mahu beraksi menentang Aston Villa awal pagi tadi. - AFP
Penyerang Manchester United, Anthony Martial menafikan dia tidak mahu beraksi menentang Aston Villa awal pagi tadi. - AFP

Martial nafi kenyataan Rangnick

LONDON: Anthony Martial menafikan dia enggan berada dalam skuad Manchester United bagi pertembungan Liga Perdana menentang Aston Villa awal pagi tadi selepas pengurus, Ralf Rangnick berkata penyerang Perancis itu tidak mahu terbabit dalam perlawanan itu.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya memulakan aksi dalam dua perlawanan liga musim ini dan tidak bermain sejak kemenangan 3-2 mengatasi Arsenal pada 2 Disember.

Wakil penyerang Perancis itu berkata bulan ini bahawa Martial mahu berpindah pada Januari untuk mendapat lebih peluang bermain.

"Dia tidak mahu berada dalam skuad," kata jurulatih itu dalam sidang akhbar. "Dia boleh berada dalam skuad secara normal, tapi dia tidak mahu dan itulah sebabnya kenapa dia tidak bersama kami semalam."

Bagaimanapun Martial menafikan kenyataan Rangnick.

"Saya tidak pernah enggan bermain perlawanan buat Man United," kata Martial menerusi Instagram.

"Saya sudah berada selama tujuh tahun di sini dan saya tidak pernah menunjukkan rasa tidak hormat dan tidak akan melakukannya, kepada kelab dan penyokong." - REUTERS

Berita Harian X