Ahad, 16 Januari 2022 | 7:32am
Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick (kiri) dan ketua jurulatih Aston Villa, Steven Gerrard ketika aksi Liga Perdana di Villa Park. - AFP
Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick (kiri) dan ketua jurulatih Aston Villa, Steven Gerrard ketika aksi Liga Perdana di Villa Park. - AFP

Rangnick akui sukar cari perkara positif

BIRMINGHAM, England: Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick berkata adalah sukar mencari perkara positif selepas skuad bimbingannya gagal menggunakan kelebihan pada 30 minit terbaik mereka sebelum seri 2-2 berdepan Aston Villa awal pagi tadi.

United, tanpa Cristiano Ronaldo yang cedera, mendominasi babak pertama di Villa Park dan mendahului 2-0 selepas 67 minit hasil dua gol Bruno Fernandes.

Namun pemain baharu Aston Villa, Philippe Coutinho masuk dari bangku simpanan bagi memberi inspirasi kebangkitan mereka, membantu untuk gol Jacob Ramsey dan kemudiannya menyamakan kedudukan menyebabkan United terkejut.

Reaksi pemain Aston Villa, Jacob Ramsey (dua dari kiri) sejurus menjaringkan gol. - Foto Reuters
Reaksi pemain Aston Villa, Jacob Ramsey (dua dari kiri) sejurus menjaringkan gol. - Foto Reuters

Selepas menang dua aksi pertama Liga Perdana sejak mengambil alih daripada Ole Gunnar Solskjaer selaku pemangku pengurus, skuad kendalian Rangnick mengumpul lima mata daripada empat perlawanan dan masih belum menang di tempat lawan.

Mereka kekal di tangga ketujuh, satu mata di belakang Tottenham Hotspur yang ada baki dua perlawanan.

Skuad kendalian Rangnick mendominasi babak awal dengan cara memberi tekanan tetapi gagal meneruskannya.

"Sangat sukar mencari perkara positif selepas 95 minit ini," kata Rangnick. "Saya merasakan ia perlawanan terbaik sejak saya datang ke sini, pada babak pertama sepanjang 30 minit kami mendominasi. Kami mengambil beberapa langkah ke depan tetapi beberapa perkara perlu ditingkatkan.

"Perancangan utama ialah memberi tekanan kepada mereka pada zon tengah dan kami melakukannya dengan baik pada 30 minit pertama, dan mengawal bola, itu perkara positif. Apabila anda mendahului 2-0, anda perlu bertahan lebih baik dan kami melakukannya dalam 15 minit terakhir."

Villa banyak berubah pada babak kedua tetapi Rangnick berkata United sepatutnya mengambil tiga mata penuh.

"Secara jujur ia seperti kekalahan," katanya. "Dalam 15 minit terakhir kami tidak kompak dan melepaskan dua gol."

Pengurus Villa, Steven Gerrard menyatakan dia membuat perbincangan "jujur" dengan pemainnya selepas babak pertama yang mengecewakan.

"Ia memerlukan kata-kata jujur pada babak pertama kerana kami mahukan lebih baik daripada pemain," kata Gerrard. "Untuk 25 minit pertama kami tidak bagus dan tidak melakukan apa yang kami mahu lakukan." - AFP

Pemain Manchester United, Bruno Fernandes (kiri) cuba dihalang pemain Aston Villa, Douglas Luiz. - Foto REUTERS
Pemain Manchester United, Bruno Fernandes (kiri) cuba dihalang pemain Aston Villa, Douglas Luiz. - Foto REUTERS

Berita Harian X