Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:40am
Manchester City dan Chelsea akan bertempur pada aksi EPL di Stadium Etihad, Manchester malam ini. - Foto ihsan The Top Flight.
Manchester City dan Chelsea akan bertempur pada aksi EPL di Stadium Etihad, Manchester malam ini. - Foto ihsan The Top Flight.

Mampukah Chelsea sekat penguasaan City?

Disebalik peningkatan ancaman COVID-19 di Britain, penyandang juara, Manchester City bagaikan tiada masalah untuk terus mengekalkan penguasaan di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kini memasuki minggu ke-22.

Skuad Pep Guardiola, setakat ini sudah mengumpulkan 53 mata, berkelebihan 10 mata ke atas pesaing terdekat yang juga juara Eropah, Chelsea dengan jumlah aksi sama, manakala Liverpool di tangga ketiga dengan himpunan 42 mata, kurang satu perlawanan.

Setakat ini, hanya The Blues dan Liverpool dilihat memiliki peluang cerah untuk menghalang City daripada merangkul satu lagi kejuaraan ketika kelab lain seperti West Ham (37 mata), Arsenal (35), Tottenham (33) dan Manchester United (31) jauh ketinggalan.

Minggu ini, Chelsea akan berkunjung ke Etihad sekali gus dilihat sebagai peluang terbaik untuk mereka menyekat City dari terus menjarakan kedudukan. Kemenangan akan mengurangkan jurang mata kepada tujuh selain turut terus meninggalkan The Reds.

Namun jika sebaliknya, ia akan menyukarkan misi Thomas Tuchel merampas kejuaraan selain kemungkinan hilang posisi tempat kedua liga kepada Liverpool. Mampukah Tuchel meranapkan strategi Guardiola pada malam ini?

Pada aksi pertama awal musim di Stamford Bridge, City mengecewakan Chelsea 1-0 dan sudah pasti mereka memburu kemenangan berganda bagi mengulangi pencapaian musim 2009-2010, 2015-16 dan 2017-2018. Musim lalu pula, Chelsea mengejutkan City 2-1 di Etihad.

Pun begitu, apa yang jelas ini adalah pertembungan ke-50 bagi kedua-dua pasukan. City hanya menang tiga kali dalam 25 aksi pertama (4 seri, 18 kalah), namun menang 12 dalam 24 aksi terakhir selepas itu (seri 3, kalah 9).

Kejayaan layak ke final Piala Liga Inggeris sebelum ini, sudah pasti membakar semangat The Blues untuk berkunjung ke Etihad ketika peluang untuk memburu kejuaraan EPL turut masih terbuka.

Selain aksi City-Chelsea, satu lagi pertembungan tumpuan minggu ini adalah membabitkan perlawanan tetangga utara London, antara Tottenham dan Arsenal esok. Arsenal ketika ini menduduki tangga kelima liga manakala Spurs setakuk di bawah.

Pada aksi pertama di laman sendiri September lalu, Arsenal menang 3-1 dan mereka sudah pasti memburu kemenangan berganda ke atas Spurs yang kali terakhir dilakukan pada musim 2013/2014.

Mengikut rekod lalu, Spurs tidak pernah tewas kepada Arsenal di laman sendiri dalam tujuh aksi terakhir (5 menang, 2 seri). Namun dengan kejayaan mengikat Liverpool 0-0 pada aksi pertama separuh akhir Piala Liga kelmarin, ia sudah pasti membakar semangat skuad Mike Arteta untuk mengubah sejarah pertemuan tetangga utara London ini.

Dalam pada itu, United akan membuat perhitungan sekali lagi dengan Aston Villa tengah malam ini, selepas pertemuan pusingan ketiga Piala FA yang berkesudahan skuad Steven Gerrard tunduk 1-0 kepada anak buah Ralf Rangnick. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Brighton 1-2 C Palace

Man City 1-1 Chelsea

Norwich 0-3 Everton

Wolves 2-1 Southampton

Newcastle 2-0 Watford

Burnley 1-2 Leicester

Aston Villa 1-2 Man United

West Ham 1-1 Leeds

Liverpool 2-0 Brentford

Tottenham 2-1 Arsenal

Berita Harian X