Rabu, 12 Januari 2022 | 8:29pm
Kehadiran penonton pada aksi Liga Malaysia mungkin dihadkan pada musim ini berikutan kes COVID-19 belum reda.
Kehadiran penonton pada aksi Liga Malaysia mungkin dihadkan pada musim ini berikutan kes COVID-19 belum reda.

'Sukar dapat kapasiti penuh penonton'

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganggap sukar untuk penyokong dibenarkan hadir ke stadium dengan kapasiti penuh bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan ia selepas melihat keadaan semasa pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara.

"Secara realistik saya tidak berfikir begitu (kemasukan penuh penyokong ke stadium) kerana bukan masa yang tepat dengan jumlah kes COVID-19 dan kewujudan Omicron.

"Ini bukan sahaja isu bola sepak tetapi isu kesihatan dan keselamatan penyokong. Kita cuma berharap suatu masa dan waktu yang tepat kita akan menerima kembali kehadiran penyokong yang dapat memenuhi stadium," katanya selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga M 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Selain itu, Stuart menjelaskan pihaknya bakal mengemukakan cadangan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong ke stadium.

Katanya, buat masa ini MFL akan mengguna pakai SOP musim lalu yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Buat masa ini kami mengadakan perbincangan peringkat awal dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum dikemukakan kepada MKN, KKM dan KBS.

"Ini (kemasukan penyokong) akan dijadikan satu permintaan MFL kepada MKN, KKM dan KBS untuk memberi pertimbangan kepada permintaan dan juga rayuan daripada pasukan sendiri.

"Di sini kita perlukan kerjasama daripada penyokong dan pasukan agar kelonggaran diberikan kepada penyokong dilaksanakan dengan sempurna. Kita lihat musim lalu, kita ada beberapa isu tempatan, tapi saya tak boleh salahkan mana-mana pihak.

"Saya sendiri berusaha di MFL untuk laksanakan final Piala Malaysia sebaik mungkin tetapi kita tahu dalam bola sepak bila adanya emosi SOP itu kita ketepikan, tetapi  itu saya rasa salah satu pergerakan pertama," katanya.

Berita Harian X