Rabu, 12 Januari 2022 | 6:30pm
Piala Sumbangsih tidak lagi dikira sebahagian aksi liga musim ini.
Piala Sumbangsih tidak lagi dikira sebahagian aksi liga musim ini.

Piala Sumbangsih tidak lagi dikira aksi liga

KUALA LUMPUR: Aksi Piala Sultan Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih tidak akan menjadi sebahagian daripada aksi Liga Malaysia (Liga M) bagi saingan musim ini.

Memaklumkan perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan aksi Piala Sultan Ahmad Shah yang akan menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala Malaysia, KL City akan berlangsung pada 26 Februari ini.

"Pada 26 Februari, perlawanan sumbangsih iaitu Piala Sultan Ahmad Shah sekarang bukan sebahagian daripada liga. Ia satu perubahan pertama yang saya perlu maklumkan.

"Perlawanan ini akan dimainkan di venue juara Liga Super, jadi ia akan berlangsung di Johor. Bagi memastikan perlawanan Piala Sumbangsih ini dilaksanakan dengan sempurna, MFL, JDT dan KL City akan bekerjasama.

"Kita akan pastikan pengendalian Piala Sumbangsih secara bebas di luar jadual liga untuk memastikan kelancaran liga tahun 2022 dilaksanakan dengan satu perlawanan pembuka tirai," katanya selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga M 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Selain itu, mengikut perancangan MFL, saingan Liga Super akan bermula pada 4 Mac, manakala perlawanan pertama Liga Perdana pula dijadualkan pada 5 Mac.

Berita Harian X