Isnin, 10 Januari 2022 | 7:49am
Pemain Nottingham Forest, Lewis Grabban menjaringkan gol kemenangan pasukannya ketika saingan pusingan ketiga Piala FA menentang Arsenal di City Ground, Nottingham, Britain. - REUTERS
Pemain Nottingham Forest, Lewis Grabban menjaringkan gol kemenangan pasukannya ketika saingan pusingan ketiga Piala FA menentang Arsenal di City Ground, Nottingham, Britain. - REUTERS

Arsenal tersingkir, Spurs, Liverpool mara

LONDON: Nottingham Forest menyingkirkan juara 14 kali, Arsenal daripada Piala FA awal pagi tadi selepas Tottenham dan Liverpool terselamat daripada ancaman pasukan liga bawahan untuk meneruskan kemaraan.

West Ham mengetepikan Leeds 2-0 dalam aksi membabitkan dua pesaing daripada Liga Perdana manakala Wolves mengatasi Sheffield United 3-0.

Namun skuad kendalian Mikel Arteta, Arsenal berdepan kesukaran menentang Forest di City Ground dan perlu membayar harga yang mahal selepas persembahan di bawah kemampuan sebenar sebelum tewas 1-0.

Saat penting itu hadir pada minit ke-83 apabila Lewis Grabban menyempurnakan hantaran lintang Ryan Yates seterusnya membawa pasukannya menentang juara bertahan, Leicester pada pusingan seterusnya.

"Saya tidak mahu menggunakan alasan, saya menjangkakan permainan lebih baik dan apabila ia tidak berlaku dalam saingan merebut piala, anda akan tersingkir," kata Arteta yang kini hanya fokus terhadap Liga Perdana.

"Hari ini menunjukkan kami tidak berupaya menang menentang Forest di tempat lawan dan tidak bermain pada tahap untuk menang perlawanan," katanya kepada ITV. "Ia isu membabitkan pasukan dan hari ini kami tidak melakukannya."

Pada perlawanan awal, Spurs ketinggalan pada babak pertama berdepan lawan League One, Morecambe namun Harry Winks menyamakan kedudukan sebelum pemain gantian, Lucas Moura dan Harry Kane menjaringkan gol lewat permainan untuk menang 3-1.

"Kami berhak menang kerana dalam perlawanan seperti ini anda perlu menunjukkan kekuatan," kata bos Tottenham, Antonio Conte kepada BBC.

"Mereka bertahan dengan 11 pemain dan ia normal dalam perlawanan seperti ini tetapi adalah penting untuk mencari penyelesaian yang betul."

Bos Liverpool, Jurgen Klopp, kembali di Anfield selepas melengkapkan pengasingan akibat COVID-19 untuk menyaksikan pasukannya ketinggalan sebelum bangkit dengan kemenangan 4-1.

Liverpool menamakan lima pemain remaja dalam pasukan mereka berdepan lawan dari League One, Shrewsbury. - AFP

Berita Harian X