Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:21am
Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick ketika aksi menentang Newcastle di St James Park dalam saingan EPL pada 27 Disember lalu. - Foto REUTERS
Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick ketika aksi menentang Newcastle di St James Park dalam saingan EPL pada 27 Disember lalu. - Foto REUTERS

Rangnick nafi wujud masalah dalam kem United

MANCHESTER, United Kingdom: Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick menafikan wujud masalah dalam bilik persalinan di Old Trafford dan berkata suasana tegang tidak dapat dielakkan dalam skuad yang besar.

Rangnick berkata, dia mewarisi skuad yang terlalu besar, dengan ramai pemain tidak gembira akibat kurang minit permainan.

United dimalukan 1-0 oleh Wolves di laman sendiri Isnin lalu dan kekalahan itu merencatkan impian mereka untuk memburu kedudukan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Media Inggeris melaporkan seramai 17 pemain mahu meninggalkan kelab, yang kini ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu Manchester City.

"Jika anda mempunyai pemain seramai itu dan hanya 10 pemain utama serta tiga pemain gantian, sudah tentu ramai yang akan ketinggalan. Dalam kes kami 12, 13, 14 pemain tidak bermain langsung, atau tidak disenaraikan dalam skuad.

"Sudah tentu pemain-pemain itu tidak akan gembira dengan situasi berkenaan. Ia amat jelas sekali. Secara keseluruhan kami mempunyai skuad yang besar.

"Saya cuba menjelaskan kepada pemain-pemain kenapa mereka tidak dapat beraksi tetapi saya tidak dapat nyatakannya pada setiap perlawanan dan ia adalah isu dalam pasukan ini serta kelab-kelab lain juga," kata Rangnick.

Paul Pogba dan Edinson Cavani adalah dua bintang utama mereka yang kontrak mereka akan tamat musim ini.

Anthony Martial dijangka meninggalkan kelab bulan ini, dengan Sevilla dilaporkan semakin hampir untuk memeterai perjanjian meminjam pemain Perancis itu.

Dean Henderson, Jesse Lingard, Juan Mata dan Donny van de Beek juga dijangka mencari kelab yang menawarkan tempat dalam kesebelasan utama.

Pertembungan pusingan ketiga Piala FA dengan Aston Villa Isnin ini memberi peluang buat Rangnick untuk menurunkan pemain-pemain yang sudah lama tidak beraksi.

Bagaimanapun pada masa sama pengendali dari Jerman itu perlu memastikan mereka tidak tersingkir daripada kejohanan berkenaan selepas mudah ditundukkan Wolves.

- AFP

Berita Harian X