Rabu, 5 Januari 2022 | 9:38am
Pengurus United, Ralf Rangnick ketika aksi Liga Perdana menentang Wolverhampton Wanderers di Manchester, Britain. - EPA
Pengurus United, Ralf Rangnick ketika aksi Liga Perdana menentang Wolverhampton Wanderers di Manchester, Britain. - EPA

Cabaran getir nanti pengurus baharu United

MANCHESTER, England: Walaupun kecewa, penyokong Manchester United tidak pernah mengejek pengurus Ole Gunnar Solskjaer atau Jose Mourinho - tetapi ia berlaku awal pagi semalam apabila Ralf Rangnick mendengarnya daripada penyokong di Old Trafford.

Keputusan pengendali Jerman itu mengeluarkan Mason Greenwood selepas sejam mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong selepas melihat penyerang muda itu menghasilkan beberapa aksi berkualiti ketika pemain lain United tampak lesu.

Ia adalah kritikan yang spesifik tetapi mencetuskan kebimbangan lebih besar selepas penyingkiran Solskjaer pada November, kualiti ditampilkan United kembali ke belakang di bawah pemangku pengurus itu.

Perasaan itu bertambah selepas Wolves menang 1-0 yang juga kejayaan pertama di Old Trafford dalam tempoh 40 tahun.

Selain persembahan pada setengah jam pertama menentang Crystal Palace, tidak nampak gaya bertenaga, bola sepak memberi tekanan yang sering dikaitkan dengan Rangnick ketika mengendalikan kelab di Bundesliga.

Berdepan Wolves, pasukan itu tampak keliru, tanpa arah dan mereka bermain dengan hanya sedikit semangat – seperti disedari pertahanan Luke Shaw selepas perlawanan.

Kelab menjangkakan tahap lebih baik apabila mereka melantik Rangnick dengan harapan ia boleh membangunkan jurulatih muda yang membantu Solskjaer sebelum ini.

Namun bekas pemain, Michael Carrick, yang menjadi pengendali sementara, meletak jawatan pada hari pengendali dari Jerman itu mengambil alih pasukan utama.

Ia diikuti jurulatih pasukan utama, Kieran McKenna yang kini mengendalikan kelab divisyen tiga, Ipswich Town, membawa bersama rakannya di United, Martyn Pert selaku pembantunya.

Rangnick, yang membawa bekas jurulatih dari Amerika Syarikat bersama New York Red Bulls, Chris Armas sebagai pembantu, dipertanggungjawabkan mengetuai pasukan utama hingga penamat musim.

Dia juga ada peranan jangka panjang sebagai perunding dan akan terbabit dalam menentukan siapa yang akan menjawat tugas selaku pengurus seterusnya. - REUTERS

Berita Harian X