Selasa, 4 Januari 2022 | 6:52pm
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP/Owee Ah Chun

MFL belum terima sebarang aduan isu jurulatih 'boneka'

KUALA LUMPUR: Isu 'jurulatih boneka' di mana jurulatih bertauliah didaftarkan namun jurulatih lain pula yang mengendalikan pasukan adalah lebih kepada membabitkan pengurusan dalaman sesuatu pasukan.

Justeru, agak sukar untuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 'campur tangan' dalam isu terbabit apatah lagi badan pengendali liga itu tidak menerima apa-apa laporan mengenai perkara terbabit.

Dalam hal ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam menjelaskan peranan MFL adalah memastikan semua jurulatih yang didaftarkan untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M) memenuhi segala kriteria ditetapkan.

"MFL sentiasa serius dalam kriteria kejurulatihan mengikut 'manual' kami dan keperluan Pelesenan Kelab. Jika terdapat sebarang tuduhan seperti ini, saya meminta pihak yang berkaitan tampil untuk melaporkan isu ini dan untuk MFL mengambil tindakan.

"MFL sentiasa terbuka kepada sebarang isu yang dibangkitkan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dan kami juga sentiasa terbuka kepada jurulatih yang datang terus kepada kami jika mereka mempunyai sebarang aduan.

"Perkara yang disebut ini tidak pernah dilaporkan kepada MFL dan sekiranya terdapat sebarang tuduhan, semua pihak boleh datang kepada MFL untuk perkara ini diteliti dan tindakan dilaksanakan.

"Cuma selepas pendaftaran jurulatih diluluskan, pasukan sendiri yang menentukan siapa yang mengendalikan sesi latihan. Sukar untuk kita pantau siapa yang ketuai sesi latihan," katanya.

Sebagai rekod, kelulusan MFL diperlukan untuk pendaftaran jurulatih pasukan yang bertanding dalam Liga M sama ada jurulatih tempatan ataupun asing.

Antara syarat wajib bagi pendaftaran jurulatih sesebuah kelab adalah perlu berdaftar dan menjadi ahli PJBM di mana MFL tidak akan meluluskan pendaftaran jurulatih yang tidak menjadi ahli PJBM.

Bagi jurulatih luar pula, MFL dan pasukan akan menyemak serta mendapatkan Pengesahan Kompetensi Kejurulatihan (RECC) daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, Manual Liga M memiliki Klausa 4.4.12 iaitu Lesen Pegawai Kelab yang bertanding dalam Liga M tidak boleh digunakan oleh individu lain dan jika didapati lesen itu digunakan oleh individu lain, MFL berhak mengenakan tindakan.

Berita Harian X