Rabu, 29 Disember 2021 | 7:44am
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane melakukan percubaan ketika saingan Liga perdana menentang Southampton di Stadium St Mary's dekat Southampton. - AFP
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane melakukan percubaan ketika saingan Liga perdana menentang Southampton di Stadium St Mary's dekat Southampton. - AFP

Spurs diikat Southampton, West Ham benam Watford

LONDON: Tottenham mencicirkan dua mata berharga berdepan Southampton yang bermain 10 orang manakala West Ham membelasah Watford 4-1 seterusnya menghangatkan pemburuan ke kelompok empat teratas Liga Perdana.

Crystal Palace pula mengatasi pasukan terbawah liga, Norwich 3-0.

Spurs yang masih belum tewas sejak Antonio Conte mengambil alih tugas bulan lalu, gagal mengambil kesempatan bermain lebih seorang pemain ketika seri 1-1 di St Mary.

Menambah kekecewaan Tottenham apabila dua gol dijaringkan pada babak kedua tidak dikira.

Cubaan baik Harry Kane dibatalkan VAR kerana ofsaid dan pengadil Anthony Taylor mengatakan penjaga gol Fraser Forster dikasari apabila dia terlepas bola berikutan kekasaran Matt Doherty.

"Kami patut rasa kecewa kerana anda perlu mengeksploitasi situasi berdepan 10 pemain," kata Conte namun tidak mahu menyalahkan keputusan pengadil itu.

"Untuk kembali bermain selepas 44 jam bukanlah mudah kerana anda perlu pulih daripada perlawanan terakhir," katanya kepada BBC merujuk kepada kemenangan Ahad lalu berdepan Palace.

"Mungkin kelesuan menyebabkan keputusan yang buruk, terutama ketika kami berada dalam kotak penalti. Bukan mudah untuk mendapatkan keputusan yang bagus di stadium ini. Kami sepatutnya boleh bermain lebih baik."

Southampton mendahului pada minit ke-25 hasil gol James Ward-Prowse yang meledak gol pertama mengatasi Hugo Lloris sebelum Kane meledak penalti pada minit ke-41. - AFP

Berita Harian X