Sabtu, 25 Disember 2021 | 7:36am
Pengendali Spurs Antonio Conte (kiri) berkata Harry Kane terbabit sepenuhnya dalam “projek Tottenham” walaupun permulaan musimnya kurang memberangsangkan. - Foto AGENSI
Pengendali Spurs Antonio Conte (kiri) berkata Harry Kane terbabit sepenuhnya dalam “projek Tottenham” walaupun permulaan musimnya kurang memberangsangkan. - Foto AGENSI

Conte gembira lihat sikap Kane

LONDON: Antonio Conte berkata Harry Kane terbabit sepenuhnya dalam "projek Tottenham" walaupun permulaan musimnya kurang memberangsangkan.

Kane dikaitkan dengan perpindahan pra-musim ke Manchester City tetapi usaha itu tidak kesampaian.

Pemerhati merasakan kegagalan kapten England itu menyertai juara Liga Perdana Inggeris berkenaan menyebabkan prestasinya di peringkat awal kempen merosot.

Kekalahan England dalam penentuan penalti Euro 2020 di tangan Itali juga dikatakan memainkan peranan dalam persembahan awal musim Kane.

Kane sukar menemui sasarang ketika Nuno Espirito Santo - yang dipecat November lalu dan digantikan dengan Conte - mengendali Tottenham dan penyerang itu kini baru meledak sembilan gol dalam semua pertandingan musim ini.

Dia bagaimanapun meledak gol Liga Perdana Inggeris keduanya pada kempen kali ini ketika menentang Liverpool hujung minggu lalu dan pemain 28 tahun itu bertekad meneruskan rentaknya apabila Spurs melayan kunjungan Crystal Palace esok.

Musim lalu Kane meledak 23 gol dan melakukan 14 umpanan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Harry menunjukkan kemampuannya dan membuktikan kepada saya dia terbabit sepenuhnya dalam projek Tottenham.

"Saya berjumpanya setiap hari dan saya lihat dia gembira. Dia mengetuai sesi latihan, di bilik persalinan dan dia menerajui latihan dengan begitu baik. Saya gembira dengan apa yang saya lihat setiap hari," kata Conte. - AFP

Berita Harian X