Khamis, 23 Disember 2021 | 10:51am
Pemain tengah Chelsea Jorginho (tengah) meraikan jaringannya ketika aksi suku akhir Piala Liga menentang Brentford di Stadium Komuniti, London. - Foto AFP
Pemain tengah Chelsea Jorginho (tengah) meraikan jaringannya ketika aksi suku akhir Piala Liga menentang Brentford di Stadium Komuniti, London. - Foto AFP

Tuchel gembira jumpa Spurs

LONDON: Thomas Tuchel merasa gembira untuk peminat Chelsea apabila skuad kendaliannya itu diundi bertemu Tottenham pada separuh akhir Piala Liga Inggeris.

The Blues menewaskan Brentford pada suku akhir awal pagi tadi, tetapi terpaksa menunggu hingga lewat permainan sebelum jaringan sendiri Pontus Jansson dan penalti Jorginho menjelmakan kemenangan.

Chelsea akan bertemu bekas pengendalinya Antonio Conte dalam aksi timbal balik kelompok empat terakhir pada Januari.

"Tottenham bagus untuk peminat kami. Pertemuan tetangga London, kami tidak sabar untuk perlawanan itu dan kami mahu berada di sana.

"Saya gembira dengan keputusan ini, keputusan yang hebat dan persembahan menakjubkan walaupun dalam situasi ini," kata Tuchel.

Tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang positif COVID-19 dan cedera, Tuchel terpaksa menurunkan pemain-pemain remaja dari akademi Chelsea.

Harvey Vale, Jude Soonsup-Bell dan Xavier Simons diberikan penampilan sulung mereka, manakala Malang Sarr, Ross Barkley dan Saul Niguez turut disenaraikan dalam pertemuan itu.

"Mereka melakukannya dengan baik. Mereka tidak berlatih selama seminggu dan kami menjemput mereka untuk dua sesi latihan bersama kami.

"Mereka mendengar dengan teliti dan melakukan tugas mereka. Pujian buat tujuh pemain yang bermain bersama mereka, mereka memastikan semuanya berjalan lancar," katanya. - AGENSI

Berita Harian X