Isnin, 20 Disember 2021 | 8:02am
Penyerang Tottenham Hotspur Son Heung-Min menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto AFP
Penyerang Tottenham Hotspur Son Heung-Min menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto AFP

Heung-min hukum kesilapan Alisson

LONDON: Bos Liverpool Jurgen Klopp mendakwa pengadil Paul Tierney mempunyai "masalah" dengannya selepas pemain Tottenham Son Heung-min menghukum kesilapan Alisson Becker untuk keputusan 2-2.

Skuad kendalian Klopp bangkit daripada jaringan awal Harry Kane untuk mendahului hasil jaringan Diogo Jota dan Andrew Robertson.

Bagaimanapun penyerang Korea Selatan Heung-min menyamakan kedudukan selepas Alisson gagal menampan hantaran lintang Harry Winks.

Liverpool bermain dengan 10 orang pada 13 minit terakhir selepas Robertson dilayangkan kad merah kerana mengasari Emerson Royal.

Klopp turut dilayangkan kad kuning kerana membantah dua keputusan penting Tierney, dengan pengendali dari Jerman itu mendakwa Kane sepatutnya dibuang padang dan Jota berhak diberikan sepakan penalti.

"Saya tidak tahu apa masalah dia dengan saya. Saya sedikit emosi dalam perlawanan. Saya lebih suka keputusan yang tepat di atas padang.

"Kane sepatutnya diberikan kad merah. Untuk penalti, pengadil memberitahu saya yang dia rasa Jota sengaja berhenti. Menakjubkan. Dia berada di tempat terbaik di atas padang dan tidak memberikannya. Anda perlu tanya dia apa masalah dia dengan saya," kata Klopp.

Buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, Liverpool tidak berada di puncak Liga Perdana Inggeris menjelang Krismas.

The Reds kini tiga mata di belakang pendahulu Manchester City, yang membelasah Newcastle 4-0. Selepas menang lapan perlawanan dalam semua pertandingan sebelumnya, Liverpool sekali lagi meninggalkan London dengan kekecewaan selepas tewas di West Ham dan seri di Brentford musim ini. - AFP

Berita Harian X