Sabtu, 18 Disember 2021 | 9:00am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola. - Foto ihsan Bleacher Report.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola. - Foto ihsan Bleacher Report.

City dijangka terus gah di depan

KOLUM APA KATA EPL

COVID-19 kembali menular di Britain dan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) turut menerima tempiasnya. Setakat semalam, sekurang-kurangnya 10 perlawanan sudah ditangguhkan termasuk lima bagi hujung minggu ini.

Perlawanan yang sah ditangguhkan itu adalah antara Manchester United dan Brighton di Old Trafford, selain Brentford bertemu Southampton, Watford dan Crystal Palace, West Ham dan Norwich dan kunjungan Leicester ke Everton.

Penangguhan itu tentunya sedikit sebanyak turut menjejaskan kemeriahan liga dan keghairaan penyokong tatkala EPL semakin menghampiri penghujung separuh musim pada hari Boxing Day atau sehari selepas sambutan Krismas.

Jika mengikut kenyataan penganjur semalam, mereka sebolehnya mahu meneruskan saingan liga meskipun berdepan kekangan serius daripada penularan COVID-19 ini. Ini kerana penangguhan berterusan bermakna aksi jadual liga musim ini mungkin lewat selesai.

Selepas 17 perlawanan, Manchester City terus gah mendahului carta liga dengan himpunan 41 mata selepas kenduri gol ke atas Leeds 7-0 pada aksi di Etihad, Rabu lalu. Kemenangan itu meletakkan skuad Pep Guardiola berkelebihan satu mata di belakang Liverpool yang menjinakkan Newcastle 3-1 di Anfield.

Chelsea pula kekal di tangga ketiga dengan 37 mata, ketinggalan empat mata di belakang City selepas hanya mampu terikat 1-1 berdepan Everton di laman sendiri manakala Arsenal mencipta kejutan menduduki tempat keempat selepas mengatasi West Ham 2-0 di Emirates.

Minggu ini, skuad Guardiola berpeluang mengukuhkan kedudukan di puncak apabila dijadual bertemu Newcastle malam esok. Dengan prestasi semasa kedua-dua, jelas City memiliki kelebihan untuk membawa pulang tiga mata.

Liverpool pula dijangka berdepan tugas berat untuk mengutip mata penuh apabila berkunjung ke London bertemu Tottenham. Spurs yang kembali meningkat selepas dibimbing Antonio Conte sudah pasti ada strategi untuk memerangkap The Reds.

Tottenham ketika ini mengumpul 25 mata menerusi 14 aksi selepas tiga perlawanan terdahulu ditangguhkan akibat pemain dan staf mereka positif COVID-19. Tidak dapat dipastikan, sama ada Conte akan dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya tengah malam esok, namun mereka harus mengutip mata penuh untuk menghidupkan peluang berada dalam kelompok empat terbaik.

Chelsea pula berdepan satu lagi cabaran agak getir apabila berkunjung ke laman Wolves. Selepas tercicir dua mata bertemu Everton, skuad Thomas Tuchel tak boleh silap lagi jika enggan ditinggalkan jauh City dan Liverpool bagi perebutan kejuaraan liga.

Arsenal yang kembali mencatat kemenangan turut berpeluang mengukuhkan kedudukan di tangga keempat apabila berkunjung ke laman Leeds manakala United pula tidak beraksi minggu ini. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Aston Villa 1-1 Burnley

Leeds 1-2 Arsenal

Wolves 1-3 Chelsea

Newcastle 0-3 Man City

Tottenham 1-3 Liverpool

Berita Harian X