LONDON: Manchester City mencipta jurang empat mata di persada Liga Perdana apabila Kevin De Bruyne memberi inspirasi kemenangan 7-0 mengatasi Leeds hanya beberapa jam selepas kelab dikenakan peraturan ketat bagi membendung penularan COVID-19 sebentar tadi.
De Bruyne menampilkan persembahan menakjubkan termasuk meledak dua gol dalam permulaan pertamanya sejak 6 November selepas pulih daripada COVID-19.
Phil Foden, Jack Grealish, Riyad Mahrez, John Stones dan Nathan Ake juga menemui sasaran ketika skuad Pep Guardiola berkenduri gol di Stadium Etihad.
Kemenangan ketujuh berturut-turut City dalam liga meletakkan tekanan terhadap pasukan tangga kedua, Liverpool dan Chelsea, yang masing-masing akan berdepan Newcastle serta Everton awal pagi Jumaat ini.
Ia adalah kemenangan terbesar juara bertahan itu musim ini.
City mendahului pada minit kelapan apabila cubaan Rodri cuba diselamatkan Illan Meslier dan disambut Foden.
Ia gol ke-500 City dalam Liga Perdana membabitkan 207 perlawanan di bawah Guardiola yang juga rekod baharu mengatasi catatan terpantas dibuat Jurgen Klopp bersama Liverpool.
"Kami gembira dengan cara pasukan bermain. Apabila anda menerima keputusan seperti ini, ia adalah kerana secara individu mereka bagus," kata Guardiola.
"Kevin, dalam perlawanan seperti ini, apabila dia membuka permainan dan bertahan, ia boleh melakukan apa sahaja dimahukan. Dia sangat penting buat kami."
Ia adalah kekalahan terbesar dalam sejarah Leeds dan mengejutkan bos Marcelo Bielsa yang berkata: "Kami tidak pernah beraksi seperti ini. Tiada penjelasan. Saya perlu mengambil tanggungjawab." - AFP