Ahad, 12 Disember 2021 | 10:34pm
Pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanafi (jersi 13) cuba mencabar penjaga gol Vietnam pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishun, Singapura malam tadi. Malaysia tewas 3-0. - Foto ihsan FB FAM
Pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanafi (jersi 13) cuba mencabar penjaga gol Vietnam pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishun, Singapura malam tadi. Malaysia tewas 3-0. - Foto ihsan FB FAM

Piala Suzuki: Vietnam mudah ratah Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: 'Nguyen Bersaudara' menghadiahkan mimpi ngeri buat Malaysia selepas akur tunduk 3-0 di tangan Vietnam pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam tadi.

Dua gol pantas daripada Nguyen Quang Hai dan Nguyen Chong Phuong pada babak pertama serta gol lewat permainan daripada Nguyen Hoang Duc membantu Vietnam mengekalkan rekod bersih dalam dua perlawanan untuk memimpin Kumpulan B.

Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan itu melebarkan rekod empat kemenangan berturut turut ke atas skuad Harimau Malaya selain tidak tewas dalam tujuh pertemuan selepas kali terakhir kecundang, tujuh tahun lalu.

Berdasarkan corak permainan dan kemahiran teknikal yang dimiliki pemain skuad Naga Emas, mereka yang menghuni ranking ke-99 dunia itu jelas berada dalam alam yang berbeza berbanding skuad Harimau Malaya.

Sebaik permainan dimulakan, Vietnam memberi tekanan kepada Malaysia seawal minit pertama untuk mendapatkan bola ibarat serigala kelaparan sehingga membuatkan Malaysia 'sesak nafas' dalam usaha merencana gerakan.

Pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad (kiri) dan Dominic Tan (kanan) mengekang penyerang Vietnam. - Foto ihsan FB FAM
Pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad (kiri) dan Dominic Tan (kanan) mengekang penyerang Vietnam. - Foto ihsan FB FAM

Keampuhan benteng Malaysia hanya bertahan selama 32 minit apabila Khairul Fahmi Che Mat ditewaskan dengan rembatan kencang Quang Hai yang juga pemain terbaik Piala AFF 2018 untuk gol pertama Vietnam.

Gawang Malaysia bolos sekali lagi hanya empat minit selepas gol pertama apabila Cong Phuong bijak memperdaya pertahanan Malaysia sebelum menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua pada aksi terbabit.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe melakukan pertukaran apabila memberikan kepercayaan kepada Guilherme de Paula dan R Kogileswaran untuk menambah sengat jentera serangan.

Memang ada sedikit perubahan ditunjukkan skuad negara pada separuh masa kedua namun ia tidak mencukupi untuk mendapatkan gol yang diperlukan.

Sebaliknya, Vietnam yang membuatkan Malaysia terkedu apabila berjaya menambah gol ketiga menerusi Hoang Duc pada minit ke-88.

Dengan kekalahan pertama di pentas Piala AFF Suzuki 2020 itu, Malaysia jatuh di tangga Kumpulan B namun mendapat rehat selama enam hari sebelum berdepan Indonesia pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Ahad depan.

Rizal Ghazali (dua dari kanan) mengasak penyerang Vietnam. - Foto ihsan FB FAM
Rizal Ghazali (dua dari kanan) mengasak penyerang Vietnam. - Foto ihsan FB FAM

Sementara itu, dalam satu aksi Kumpulan B, Indonesia membelasah Laos 5-1.

Berita Harian X