Sabtu, 11 Disember 2021 | 9:00am
Saingan untuk menguasai persada EPL kini terarah kepada tiga pasukan - Manchester City, Liverpool dan Chelsea. - Foto ihsan Scorum
Saingan untuk menguasai persada EPL kini terarah kepada tiga pasukan - Manchester City, Liverpool dan Chelsea. - Foto ihsan Scorum

City, Liverpool, Chelsea terus membara

KOLUM APA KATA EPL

Kekalahan Chelsea kepada West Ham minggu lalu memberi peluang kepada penyandang juara, Manchester City untuk merampas kedudukan persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berakhirnya minggu ke-15.

Skuad The Blues tumpas 3-2 kepada pasukan 'kuda hitam' liga di London, tatkala City pula menjinakkan Watford 3-1 di Vicarage Road. City kini menghimpun 35 mata, berkelebihan dua mata ke atas Chelsea di tangga ketiga. Tempat kedua milik Liverpool yang mengumpul 34 mata.

Anak buah Thomas Tuchel kelihatannya agak terkesan dengan kekalahan kepada West Ham itu, apabila gagal bangkit pada aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu. Mereka terikat 3-3 dengan Zenit Saint Petersburg dan akibatnya, terlepas posisi juara Kumpulan H.

Mampukah Chelsea bangkit apabila melayan kunjungan Leeds United? Kemenangan amat diperlukan skuad Tuchel ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan jauh di belakang City dan Liverpool. Leeds terikat 2-2 menentang Brentford minggu lalu dan kini di tangga ke-15.

City pula minggu ini akan melayan kunjungan satu lagi pasukan yang dianggap 'kuda hitam', Wolves. Lawannya itu yang kini menduduki tangga kelapan liga, minggu lalu hanya tewas 1-0 kepada skuad Jurgen Klopp di Stadium Molineux.

Pada pertengahan minggu, skuad Pep Guardiola tunduk 1-2 kepada RB Leipziq dalam saingan Liga Juara-Juara sekali gus mendedahkan kelemahan mereka di benteng. Namun City tetap memiliki kelebihan apabila melayan Wolves malam ini untuk meraih tiga mata.

Liverpool pula harus tiada masalah besar untuk terus mengutip mata penuh apabila melayan kunjungan Aston Villa lewat malam ini yang kini dibimbing bekas pemain dan kapten kesayangan mereka, Steven Gerrard.

Gerrard yang menggantikan Dean Smith sebelum ini, tampil di Anfield dengan membawa bersama rekod cemerlang membantu kelabnya naik ketangga ke-10 hasil tiga kemenangan selepas merudum sebelum itu, selain pengalaman membimbing juara Scotland, Rangers.

Inilah yang menarik untuk kita saksikan. Yang pasti, tiada belas kasihan daripada Klopp untuk Gerrard kerana The Reds sudah pasti mahu meraih tiga mata untuk menekan City di puncak selepas gembira melihat pendahulu terdahulu, Chelsea kini tercicir di tangga ketiga.

Manchester United yang mula menyesuaikan diri dengan corak permainan pengendali baharu mereka, Ralf Rangnick akan melayan kunjungan pasukan tercorot liga, Norwich dengan harapan menang lagi.

Red Devils yang menang 1-0 ke atas Crystal Palace minggu lalu, iaitu aksi pertama Rangnick sebagai jurulatih, sebelum mencatat keputusan 1-1 menentang Young Boys dalam Liga Juara-Juara, jelas harus tiada masalah untuk menggembirakan penyokonganya di Old Trafford.

Arsenal yang tewas dua perlawanan berturut-turut pula seharusnya mampu bangkit bertemu Southampton minggu ini manakala Tottenham yang ditimpa musibah apabila skuadnya hampir separuh positif COVID-19 menyaksikan aksi mereka menentang Brighton minggu ini ditangguhkan. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Brentford 2-1 Watford

Man City 3-1 Wolves

Arsenal 2-0 Southampton

Chelsea 3-1 Leeds

Liverpool 3-1 Aston Villa

Man United 2-0 Norwich

Burnley 1-2 West Ham

Leicester 2-1 Newcastle

C Palace 1-2 Everton

Berita Harian X