Selasa, 7 Disember 2021 | 11:00am
Pengendali Manchester United Ralf Rangnick (kiri) dan Sascha Lense pernah bekerjasama di Schalke dan RB Leipzig. - Foto AGENSI
Pengendali Manchester United Ralf Rangnick (kiri) dan Sascha Lense pernah bekerjasama di Schalke dan RB Leipzig. - Foto AGENSI

Rangnick tambah kakitangan sokongan

LONDON: Ralf Rangnick merekrut dua kakitangan baharu minggu ini bagi membantunya di Manchester United.

Jurulatih Chris Armas dan pakar psikologi sukan Sascha Lense sedang menanti visa kerja bagi membolehkan mereka menyertai kakitangan sokongan Rangnick di Old Trafford.

Lense diperkenalkan kepada pemain-pemain United di pusat latihan Carrington semalam. Bekas pemain tengah berusia 46 tahun itu sebelum ini bersama Rangnick di Schalke dan RB Leipzig.

Armas, 49, bekas jurulatih New York Red Bulls dan Toronto FC, akan menyertai Kieran McKenna dan Mike Phelan sebaik urusan visa kerjanya selesai.

Rangnick dijangka mengadakan sidang media bagi mengumumkan pelantikan baharu itu. Dia juga bercadang mencari tiga jurulatih baharu atau pakar analisis selepas Michael Carrick meninggalkan United minggu lalu.

Jesse Marsch, yang dipecat sebagai pengendali Leipzig Ahad lalu, turut berada dalam radar tetapi diragui sanggup untuk kembali menjadi penolong selepas dinaikkan pangkat kepada ketua jurulatih.

"Berkenaan jurulatih, saya gembira untuk bekerjasama dengan mereka. Saya memerlukan kepakaran dan pengalaman mereka bersama skuad ini.

"Saya ingin mencari seorang, dua atau tiga lagi menyertai kami tetapi ia tidak mudah kerana peraturan Brexit. Ramai di antara bekas rakan sekerja saya terikat dengan kontrak jangka panjang bersama kelab besar, jadi mereka tidak dapat dipanggil.

"Kita perlu bijak dalam mencari orang yang tepat, saya harap dalam seminggu dua lagi tetapi tidak pasti," kata Rangnick. - AGENSI

Berita Harian X