Isnin, 6 Disember 2021 | 8:04am
Ralf Rangnick merakam kemenangan pertama bersama Manchester United selepas Fred meledak gol tunggal ketika menewaskan Crystal Palace 1-0 di Old Trafford. - Foto AFP
Ralf Rangnick merakam kemenangan pertama bersama Manchester United selepas Fred meledak gol tunggal ketika menewaskan Crystal Palace 1-0 di Old Trafford. - Foto AFP

Rangnick puas hati aksi sulung United

LONDON: Ralf Rangnick memuji usaha Cristiano Ronaldo ketika kemenangan 1-0 Manchester United ke atas Crystal Palace di Old Trafford.

Ia kemenangan pertama buat pengendali sementara Rangnick yang baru memulakan karier bersama United. Gol tunggal permainan dijaringkan pemain tengah Fred.

Pengendali berusia 63 tahun itu, yang terkenal dengan falsafah 'gegenpress' dalam corak latihannya, memuji anak buahnya yang bakal ditukar menjadi 'gergasi mengasak'.

"Saya amat gembira dengan cara pasukan bermain, terutama di setengah jam pertama, dengan cara mereka mengasak, ia luar biasa. Hanya yang kurang ialah 1-0 atau 2-0.

"Cara kami bertahan, kami mengawal keseluruhan permainan, tidak dibolosi adalah lebih penting. Ini antara perkara yang perlu diperbaiki. Kami perlu kekal tidak dibolosi.

"Dengan hanya satu sesi latihan, saya amat kagum. Kami melakukan lebih baik daripada jangkaan. Usaha Cristiano Ronaldo ketika tidak mempunyai bola sangat mengagumkan," kata Rangnick.

Man Utd kini di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, tiga mata di belakang West Ham yang menghuni tangga keempat.

Cabaran Rangnick selepas ini ialah perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Young Boys di Old Trafford sebelum bertandang ke Carrow Road bertemu Norwich pada Sabtu. - AGENSI

Berita Harian X