Ahad, 5 Disember 2021 | 7:10am
Pemain JDT, Arif Aiman dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai ABK21. - Foto ihsan Facebook MFL.
Pemain JDT, Arif Aiman dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai ABK21. - Foto ihsan Facebook MFL.

Arif Aiman Pemain Paling Bernilai 2021

KUALA LUMPUR: Liga Malaysia (Liga M) 2021 menjadi kenangan paling manis buat bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual, malam tadi.

Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain termuda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukan, Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

Arif yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut musim ini dan Piala Sumbangsih selain membantu kelab Harimau Selatan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 sebelum tewas 0-2 di tangan Kuala Lumpur City (KL City) 2-0 turut meraih Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Pemain lincah yang menghasilkan tiga gol dalam 31 penampilan musim ini berkata, kejayaan yang dikecapi ini tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan sepasukan.

"Terima kasih kepada TMJ kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan juga kepada jurulatih Benjamin Mora serta barisan kejurulatihan yang lain kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan pada tahun ini," katanya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif mengatasi cabaran dua lagi calon akhir iaitu Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) manakala dalam kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia menafikan dua calon dari Selangor, Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun Arif tidak keseorangan membawa pulang trofi ABK21 ke kem JDT apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017 manakala Farizal Marlias pula merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.

Selain kejayaan penyerang dari Brazil, Bergson da Silva meraih Kasut Emas dengan meledak 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, skuad Harimau Selatan itu turut gah dengan menerima gelaran Pasukan Terbaik.

Bojan Hodak yang membimbing KL City mencipta kejutan menjuarai Piala Malaysia musim ini menerima Anugerah Jurulatih Terbaik, manakala penyerang City Boys yang juga penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan 10 gol, Romel Morales dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik.

Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar pula meraih kejayaan berganda apabila membawa pulang trofi Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super selepas meledak tujuh gol.

Seramai 403 daripada 843 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK21 yang mengundi 10 pemain terbaik bagi setiap kategori.

Pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing dengan 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan Liga Super dan Liga Perdana serta 23 wakil media mengundi 10 pemain bagi setiap kategori itu pada 19 November dan berakhir 21 November 2021.

Berikut senarai pemenang ABK21 -

Pemain Paling Bernilai (MVP): Arif Aiman Hanapi (JDT)

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)

Pertahanan Terbaik: Matthew Davies (JDT)

Pemain Tengah Terbaik: Baddrol Bakhtiar (KDA)

Penyerang Terbaik: Arif Aiman Hanapi (JDT)

Pemain Muda Terbaik: Arif Aiman Hanapi (JDT)

Pemain Import Terbaik: Romel Morales (KL City)

Jurulatih Terbaik: Bojan Hodak (KL City)

Anugerah Kasut Emas: Bergson da Silva (JDT)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super: Baddrol Bakhtiar (KDA)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana: Nurshamil Abd Ghani (Kelantan)

Penjaring Terbanyak Liga Super: Ifedayo Olusegun (Selangor)

Penjaring Terbanyak Liga Perdana: Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (TFC II)

Pasukan Terbaik: JDT

Anugerah Fair Play: Skuad Projek FAM-MSN

Berita Harian X