Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:00am
Pengendali baharu Manchester United, Ralf Rangnick (kiri) dan jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel. - Foto ihsan Guardian
Pengendali baharu Manchester United, Ralf Rangnick (kiri) dan jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel. - Foto ihsan Guardian

Chelsea teruji, Rangnick buka langkah

KOLUM APA KATA EPL

Kemenangan tipis ke atas Watford pada pertengahan minggu, terus meletakkan juara Eropah, Chelsea kekal mengungguli saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). The Blues bagaimanapun hanya di depan dengan kelebihan satu mata ke atas Manchester City dengan himpunan 33 mata.

City pula terus merapati The Blues selepas menang 2-1 ke atas Aston Villa manakala Liverpool di tangga ketiga, hasil kemenangan selesa ke atas tetangganya, Everton, 4-1, juga kelmarin bagi melengkapkan tiga tempat teratas liga selepas 14 perlawanan.

Pencabar utama lain seperti Arsenal, Tottenham dan Manchester United masing-masing di tangga kelima, keenam dan ketujuh, ketinggalan 10 hingga 12 mata di belakang skuad Thomas Tuchel. Arsenal tunduk 2-3 kepada United di laman sendiri manakala Spurs jinak Brentford, 2-0.

Minggu ini, peluang Chelsea mengekalkan kedudukan dipersada mungkin goyang apabila bakal bertembung 'kuda hitam', West Ham dalam aksi tetangga London atau London derby. Skuad The Hammers ketika ini menduduki tangga keempat liga dengan himpunan 24 mata.

Pada aksi terakhir di laman sendiri pertengahan minggu, mereka hanya mampu terikat 1-1 berdepan Brighton, namun tetap dilihat mampu mencalar reputasi The Blues untuk sekali gus menekan pasukan tiga teratas.

Berpandukan rekod lalu, West Ham memenangi tiga daripada enam aksi terakhir menentang Chelsea di laman sendiri, namun The Blues pula berjaya memenangi aksi timbal balik musim lalu.

Dengan prestasi semasa dan rekod terdahulu, penulis jangkakan aksi tetangga London ini bakal sengit, namun skuad Tuchel tetap ada kelebihan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.

Sementara itu, City yang juga juara bertahan, harus tiada masalah untuk mengutip mata penuh apabila berkunjung ke laman Watford. Namun Pep Guardiola perlu waspada dengan taktik Claudio Ranieri yang sebelum ini memerangkap United selain hampir mengikat Chelsea.

Liverpool pula bakal berkunjung ke Wolves, dengan tiga mata harus dalam genggaman mereka untuk terus menekan Chelsea di puncak. Dengan bintang Mesir, Mohamed Salah terus mempamerkan bisanya, skuad Jurgen Klopp mampu berpesta gol lagi.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Michael Carrick selaku pengendali sementara dengan kemenangan hebat ke atas Arsenal, United bakal memulakan perjuangan baki musim ini dibawah bimbingan Ralf Rangnick malam esok.

Rangnick, 63, yang bersetuju membimbing Red Devils sehingga penghujung musim ini, bakal diuji Crystal Palace dalam aksi sulung di Old Trafford. Dengan pelbagai kejayaan diraih dan pengalaman luas, apakah warga Jerman ini akan bermula dengan langkah kanan? Kita tunggu dan lihat. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

West Ham 1-3 Chelsea

Newcastle 2-1 Burnley

Wolves 1-3 Liverpool

Southampton 1-2 Brighton

Watford 0-3 Man City

Leeds 1-1 Brentford

Man United 3-1 C Palace

Tottenham 2-0 Norwich

Aston Villa 3-1 Leicester

Everton 0-2 Arsenal

Berita Harian X