Jumaat, 3 Disember 2021 | 7:47am
Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min meraikan jaringannya ketika aksi Liga Perdana menentang Brentford di Stadium Tottenham Hotspur dekat London. - AFP
Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min meraikan jaringannya ketika aksi Liga Perdana menentang Brentford di Stadium Tottenham Hotspur dekat London. - AFP

Conte lega Spurs tewaskan Brentford

LONDON: Antonio Conte berkata Tottenham sudah mula memahami falsafahnya selepas jaringan pertama Son Heung-min dalam Liga Perdana sejak Oktober mengesahkan kemenangan 2-0 mengatasi Brentford awal pagi tadi.

Skuad kendalian Conte kali terakhir beraksi tujuh hari lalu ketika tewas 2-1 kepada pasukan kerdil Slovenia, NS Mura pada Liga Conference Europa.

Kecewa dengan kekalahan itu, Conte minggu ini mengakui tugas di Tottenham adalah "cabaran terbesar buat saya. Kelab sejak tahun lalu, semakin menurun."

Ketika Tottenham masih perlu banyak meningkat di bawah kendalian pengendali Itali itu, Conte boleh merasa lega melihat persembahan paling meyakinkan sejak dia mengetuai kelab.

Gol sendiri Sergi Canos memberikan Tottenham kelebihan pada babak pertama dan Son melengkapkan kemenangan selepas rehat babak pertama.

Ia adalah gol ke-75 Son dalam liga utama sejak menyertai kelab utara London itu dari Bayer Leverkusen pada 2015.

Tottenham kini di tangga keenam selepas melebarkan rekod tanpa kalah di bawah Conte kepada tiga perlawanan sejak dia menggantikan Nuno Espirito Santo pada November.

"Ia persembahan yang bagus berdepan pasukan yang sangat bahaya. Saya gembira kerana melihat komitmen hebat dan kesungguhan daripada pemain. Ia sesuatu yang bagus," kata Conte.

"Pemain mula faham falsafah saya. Kami boleh melakukan dengan lebih baik tetapi gol kedua itu sangat bagus.

"Ia adalah tiga mata yang bagus untuk keyakinan kami. Kami bermula di laluan baharu. Pemain menunjukkan keinginan yang hebat untuk mengubah situasi." - AFP

Berita Harian X