Rabu, 1 Disember 2021 | 9:20pm
Jurulatih JDT, Benjamin Mora (kanan) kelihatan sugul selepas pasukannya ketinggalan dua gol pada aksi final Piala Malaysia menentang KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Jurulatih JDT, Benjamin Mora (kanan) kelihatan sugul selepas pasukannya ketinggalan dua gol pada aksi final Piala Malaysia menentang KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Kekalahan dorong JDT buru lebih banyak kejayaan

KUALA LUMPUR: Kekalahan memedihkan selepas ditundukkan KL City FC pada pentas akhir Piala Malaysia 2021 tidak akan melemahkan Johor Darul Ta'zim (JDT), malah sebaliknya akan menjadikan skuad Harimau Selatan itu lebih 'lapar' untuk memburu kejayaan demi kejayaan.

Pengendalinya, Benjamin Mora menjelaskan selepas sekian lama berada `di awangan', ada kalanya pasukan perlu merasai kekalahan walaupun itu bermakna mereka gagal mempertahakan trofi yang dimenangi pada edisi 2019.

Namun, kekalahan itu tidak mengubah reputasi mereka sebagai gergasi bola sepak tempatan apatah lagi menamatkan musim 2021 dengan cemerlang apabila berjaya membolot Piala Sultan Haji Ahmad Shah serta kejuaraan Liga Super lapan kali berturut turut.

"Ini adalah lumrah bola sepak. Selepas kita tidak tewas lebih 20 perlawanan, hari ini (kelmarin) adalah giliran kami untuk kalah walaupun menyakitkan apabila tewas di final.

"Tetapi kami tahu, kami mengharungi tahun yang baik apabila memecahkan beberapa rekod. Kami adalah juara liga tetapi kami perlu belajar daripada (kekalahan final) ini dan teruskan kerja.

"Saya tidak rasa pemain saya terlalu yakin kerana mereka tetap fokus. (Gol) hanya berpunca daripada kesilapan individu dan tiada sesiapa patut dipersalahkan. Pemain sudah berikan yang terbaik.

"Kegagalan perlu ada untuk kita meraih kejayaan. Kalau kita tidak merasainya, mungkin sukar untuk kita terus berevolusi dan dapat melihat apa yang sepatutnya kami buat untuk terus mendominasi," katanya.

Semalam, impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mengekalkan trofi Piala Malaysia di bumi Selatan berkecai apabila dikejutkan KL City 2-0 pada aksi final Piala Malaysia ke-100 tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Susulan kegagalan di pentas akhir itu, masa depan Mora bersama JDT turut menjadi persoalan namun pengendali dari Mexico itu tampak tenang dengan menyerahkan nasibnya di tangan pihak pengurusan.

"Mungkin (hilang pekerjaan) tetapi bukan saya yang membuat keputusan itu. Saya ada hubungan yang baik dengan pengurusan dan pemain. Saya sentiasa cuba untuk menang dan berusaha melakukan yang terbaik untuk JDT.

"Jika pihak pengurusan atau TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berpendapat itulah penyelesaiannya, mereka akan maklumkan kepada saya.

"Tetapi buat masa ini kami dalam keadaan sukar, kami okey, kami baik dan selepas ini kami akan mengkaji semula keadaan bila tiba masanya," katanya.

Berita Harian X