Rabu, 1 Disember 2021 | 9:19pm
Pasukan KL City bersama penyokong mereka meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Pasukan KL City bersama penyokong mereka meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

'KL City sememangnya layak jadi jadi juara'

KUALA LUMPUR: "Kita main sampai tiga hari lagi, mereka (Johor Darul Ta'zim) tidak akan dapat menjaringkan gol juga," kata pengendali KL City FC, Bojan Hodak.

Sebegitu tinggi keyakinan yang dilontarkan pengendali dari Croatia itu namun kenyataan terbabit tampak berasas selepas dua lapisan benteng KL City FC berjaya menyekat jentera serangan skuad Harimau Selatan daripada melakukan kebinasaan ke atas mereka.

Justeru, Hodak menegaskan anak buahnya sememangnya layak untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia ke-100 tahun itu berdasarkan disiplin tinggi dan kesungguhan yang ditunjukkan mereka pada pentas akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

"Kita ada tuah kerana kalau tidak kerana percubaan mereka terkena tiang tetapi kami memang layak untuk mendapatkan dua gol. Saya rasa kita boleh main selama tiga hari lagi tetapi mereka tidak akan dapat menjaringkan gol.

"Itulah yang saya rasakan. Mereka berdepan percubaan daripada luar kotak tetapi selain daripada terkena tiang dan peluang di awal permainan, selepas itu semuanya mudah untuk dibaca.

"Kita bergelut pada separuh masa pertama tetapi kita tampil lebih yakin pada babak kedua. Mereka tidak dapat mengikut rentak kita dan dengan dua gol, tutup (perlawanan berakhir).

"Saya ada 30 pemain yang gembira (menang final). Begitu juga dengan ramai penyokong serta beberapa negeri yang lain di Malaysia. Ia satu perlawanan yang baik," kata Hodak selepas perlawanan.

Dalam masa sama, Hodak mengakui kejayaan menjulang Piala Malaysia bersama KL City FC lebih manis memandangkan dia memiliki 'sumber' yang terhad berbanding ketika menjulang piala bersama Kelantan dan JDT.

"Kerja yang sukar buat saya kerana ketika menang bersama Kelantan dan JDT, saya ada ramai pemain kebangsaan tetapi di sini, hanya dua (pemain kebangsaan).

"KL City FC adalah pasukan yang bekerja keras dan suasana di bilik persalinan sangat mengagumkan. Apabila ada suasana sebegini, saya tahu kita boleh lakukan sesuatu," katanya.

Berita Harian X