Rabu, 1 Disember 2021 | 4:16pm
Sebahagian penyokong JDT yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bagi menyaksikan final Piala Malaysia menentang KL City FC. - Foto BERNAMA.
Sebahagian penyokong JDT yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bagi menyaksikan final Piala Malaysia menentang KL City FC. - Foto BERNAMA.

JDT mohon maaf

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) memohon maaf kepada seluruh peminat pasukan itu selepas gagal menghadiahkan trofi ketiga musim ini.

Skuad Harimau Selatan tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Dalam satu kenyataan ringkas menerusi akaun Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, JDT bagaimanapun tetap menganggap musim ini sebagai musim yang baik buat skuad Harimau Selatan selepas mencapai beberapa kejayaan lain.

"Kami minta maaf kerana tidak dapat menambah yang ketiga tetapi ia tetap musim yang baik untuk kami dengan dua trofi, memenangi Liga Super Malaysia, Piala Sumbangsih dan layak sehingga ke pusingan akhir Piala Malaysia pada ulang tahunnya yang ke-100, serta memastikan sekali lagi ke Liga Juara-Juara AFC," kata kenyataan itu.

Kekalahan di tangan KL City itu turut menyaksikan JDT gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2019.

Bagi KL City pula, kejayaan itu menamatkan penantian 32 tahun mereka untuk merampas kembali Piala Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, kejuaraan yang diraih skuad City Boys dilakar ketika saingan tertua Asia Tenggara itu menyambut ulang tahun ke-100 musim ini selain mereka turut merebut ke Piala AFC tahun depan selaku juara Piala Malaysia.

Berita Harian X