Rabu, 1 Disember 2021 | 9:17am
Manchester United mengharapkan Ralf Rangnick akan diberikan lampu hijau menjelang pertemuan dengan Palace Ahad ini. - Foto AGENSI
Manchester United mengharapkan Ralf Rangnick akan diberikan lampu hijau menjelang pertemuan dengan Palace Ahad ini. - Foto AGENSI

Rangnick hadapi masalah permit kerja

LONDON: Manchester United mengumumkan yang pengendali sementara mereka Ralf Rangnick tidak sempat untuk pertembungan dengan Arsenal esok kerana faktor permit kerja.

Pelantikan Rangnick sehingga akhir musim ini disahkan Isnin lalu tetapi timbul kebimbangan yang dia bakal berdepan kesukaran untuk mula bekerja berdasarkan halangan selepas Brexit.

Rangnick didapati tidak memenuhi kriteria seorang pengendali yang mahu memohon Governing Body Endorsement (GBE), seperti ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA), jadi kesnya akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengecualian bagi mendapatkan permit kerja.

Peraturan untuk seorang pengendali dari Kesatuan Eropah menetapkan seseorang calon perlu 'menguruskan kelab di liga tertinggi untuk tempoh tertentu' bagi mendapatkan permit kerja - dalam situasi ini dua tahun berturut-turut, atau tiga daripada lima tahun sebelumnya.

Rangnick kali terakhir mengendali RB Leipzig pada musim 2018-19, dengan jawatan sebagai pengendali sebelum itu juga di Leipzig pada musim 2015-16. Terdahulu dia membimbing Schalke selama enam bulan pada tahun 2011 tetapi meletak jawatan akibat sindrom kelesuan kronik.

Dalam tempoh lima tahun sebelum itu dia menjadi pengarah bola sepak di RB Salzburg dan RB Leipzig, kemudian mengetuai bahagian sukan dan pembangunan Red Bull, dan terkini sebagai pengarah sukan dan pembangunan di Lokomotiv Moscow.

Berbeza dengan Antonio Conte yang mudah mengambil alih Tottenham selepas memenuhi kriteria mendapatkan GBE daripada FA, selepas membimbing Inter Milan dan Chelsea dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

United mengharapkan Rangnick, yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer buat sementara waktu, akan diberikan lampu hijau menjelang pertemuan dengan Palace Ahad ini. - AGENSI

Berita Harian X