Selasa, 30 November 2021 | 11:28am
Barisan kemungkinan kesebelasan utama KL City dan JDT pada aksi final Piala Malaysia malam ini.
Barisan kemungkinan kesebelasan utama KL City dan JDT pada aksi final Piala Malaysia malam ini.

5 sebab kenapa JDT, KL City boleh juara

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-100 trofi Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dengan pentas final menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City).

Segala kemungkinan boleh berlaku sama ada Harimau Selatan atau City Boys yang akan menjulang trofi tertua Asia itu dalam 90 minit permainan atau selepas tambahan masa dan mungkin juga perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Biarpun JDT yang juga juara dua kali Piala Malaysia menjadi pilihan, namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan tidak mustahil juara tiga, KL City mampu melakar kejutan.

Apa yang menariknya, kedua-dua pasukan itu masih belum tewas sepanjang Piala Malaysia musim ini dan ia menjadi faktor kecil aksi malam ini juga bakal menarik untuk disaksikan.

BH Sukan menyenaraikan lima sebab yang mungkin boleh menjadi faktor sama ada JDT atau KL City akan berpesta di Bukit Jalil.

LIMA SEBAB KENAPA JDT BOLEH JUARA

1. 'Raja Bola Sepak Malaysia'

Tiada siapa yang boleh menyangkal bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah 'Raja Bolasepak Malaysia' dalam kancah liga tempatan ketika ini.

Barisan pemain bintang dan berstatus skuad kebangsaan dimiliki Harimau Selatan bukan sahaja untuk skuad utama, malah pemain simpanan Harimau Selatan juga terdiri daripada yang gred 'A'.

Maka, tidak hairanlah jika hampir 100 peratus peluang untuk muncul juara Piala Malaysia musim ini lebih memihak anak buah Benjamin Mora.

Berbanding dengan status 'underdog' di pegang KL City, pemain JDT akan berusaha sedaya upaya untuk mengelak berdepan malu besar sekiranya tersungkur di pentas final Piala Malaysia.

2. Skuad sempurna

Bermula dari penjaga gol hingga bahagian serangan, tiada posisi yang boleh dianggap lemah dalam skuad JDT jika mereka berdepan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Kehadiran Shane Lowry pada pertengahan musim memperkuatkan lagi pertahanan Harimau Selatan.

Kekuatan jentera tengah yang dibarisi Natxo Insa, Leandro Velazquez dan Afiq Fazail seakan sukar ditandingi pasukan lawan.

Malah, JDT turut memiliki ketajaman penyudah dari mesin gol mereka, Bergson Da Silva yang dibantu dengan kelincahan Arif Aiman Hanapi dan Gonzalo Cabrera di bahagian kanan dan kiri.

Tujuh gol yang diledak Bergson sepanjang Piala Malaysia musim ini cukup untuk menjadikan dia pemain paling berbahaya buat KL City.

3. Pengalaman pentas akhir

Pentas final boleh dikatakan tidak asing lagi bagi JDT dalam pertandingan domestik.

Jika dilihat dalam saingan Piala Malaysia sejak 2014, JDT pernah mara ke final sebanyak tiga kali yang mana dua kali muncul juara pada 2017 dan 2019.

Ia menunjukkan perbezaan ketara dengan KL City yang sudah 32 tahun tidak berada di pentas final saingan tertua Asia Tenggara itu selepas kali terakhir pada 1989.

Bukan sahaja final sebenar, malah barisan pemain JDT juga sentiasa mengharungi 'perlawanan akhir' termasuk dalam Liga Super kerana setiap pasukan yang menentang mereka akan bermain mati-matian ibarat final.

Jadi, pengalaman beraksi di pentas akhir ini menjadi kelebihan buat JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

4. Aura TMJ

Aura Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT sentiasa menjadi kekuatan buat Harimau Selatan apabila setiap kali berdepan perlawanan penting.

Ketegasan dan keinginan TMJ yang mahu Harimau Selatan sentiasa memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan tidak akan memberi ruang buat anak buah Mora mempamerkan aksi sambil lewa.

Malah, pelbagai kemudahan bertaraf dunia yang disediakan untuk kelab dan kebajikan pemain yang sentiasa terjaga juga dilihat menjadikan pemain Harimau Selatan 'malu' untuk tidak menampilkan persembahan lebih 100 peratus dan mencapai kejayaan buat pasukan.

5. Faktor Benjamin Mora

Enam tahun pengalaman berkhidmat dengan JDT termasuk bersama JDT II cukup menunjukkan bahawa pengendali dari Mexico ini sudah memahami segala kekuatan, kelemahan, falsafah dan keperluan Harimau Selatan.

Senarai nama taruhan utama untuk final Piala Malaysia juga pastinya sudah berada dalam kepala Mora kerana dia sangat mengenali dan mengetahui kekuatan dan kebolehan setiap pemain di semua posisi.

LIMA SEBAB KENAPA KL CITY BOLEH JUARA

1. Status sebagai 'underdog'

Turun sebagai pasukan bukan pilihan, mungkin ini mengurangkan tekanan kepada mereka pada pentas final ini.

'Nothing to lose' buat mereka memandangkan tiada jangkaan tinggi yang diletakkan kepada mereka dan semua tumpuan terarah kepada JDT.

Jadi seperti yang diperkatakan Bojan Hodak selepas mara ke final, nikmati perlawanan akhir ini.

2. Sentuhan Hodak

Pengendali dari Croatia ini bukan nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan kerana pernah melatih beberapa pasukan termasuklah JDT serta berkesempatan bersama skuad B-19 negara.

Hodak juga membuktikan sentuhannya dalam pertandingan berformatkan saingan kalah mati seperti yang pernah ditunjukkan ketika menjulang dua Piala FA dan Piala Malaysia bersama Kelantan.

Sebagai individu yang masak dengan 'permainan' bola sepak Malaysia, sudah tentu dia tahu apa yang perlu dilakukan.

3. Bisa Morales

Penyerang 'bidan terjun' ini mencipta sensasi tersendiri apabila meledak 10 gol dalam kancah Piala Malaysia setakat ini.

Namun dia buntu dalam dua aksi separuh akhir apabila gagal meledak gol namun siapa tahu dia bakal 'meletup' di pentas final nanti.

Tumpuan khusus perlu diberikan pertahanan JDT kepada 'Pembunuh Upahan Colombia' ini kerana dia mampu meledak menggunakan kaki mahupun kepala.

4. 'Nafsu' untuk mencipta sejarah

Mereka menunggu selama 32 tahun untuk ke final, satu penantian yang cukup panjang dan mereka berjaya melakukannya pada musim ini.

Sudah pasti mereka tidak mahu penantian lebih tiga dekad ini berakhir dengan sia-sia tanpa memenangi sebarang gelaran.

5. Tiket ke Piala AFC

Barangkali ini motivasi terbesar untuk KL City FC menuju ke final Piala Malaysia selepas saingan itu menjadi 'pintu belakang' ke pentas Asia musim depan.

Jadi KL City FC perlu memenangi piala ini jika mengimpikan untuk mencuba nasib berentap di Piala AFC musim depan.

Berita Harian X