Isnin, 29 November 2021 | 5:21pm
Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora pada sidang media sempena pra-perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - STR/AZHAR RAMLI
Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora pada sidang media sempena pra-perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - STR/AZHAR RAMLI

Kami akan 'telan' KL - Mora

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan melakukan apa sahaja dan sama sekali tidak akan membenarkan KL City FC untuk 'bernafas' pada pentas akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Itu tekad pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora yang jelas mahu anak buahnya terus 'bernafsu' bagi membenam cabaran skuad 'The City Boys' apatah lagi mereka turun dengan status sebagai pasukan pilihan.

Jelas pengendali dari Mexico itu, misi untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada edisi 2019 itu juga amat penting kerana mereka perlu 'memuaskan' kemahuan yang tinggi daripada pihak pengurusan.

"JDT akan menjadi JDT. Kami tidak akan duduk diam dan menunggu apa yang akan jadi pada perlawanan itu nanti. Kami akan buat segalanya (eat the grass), kami akan makan pasukan lawan dan cuba untuk menjaringkan gol.

"Cara untuk menang di final adalah mudah iaitu kami perlu menjaringkan gol. Kami bukan setakat mahu beraksi di final tetapi mahu memenanginya.

"Sangat penting (mempertahankan kejuaraan) bagi mengekalkan mentaliti kemenangan dan produktiviti pasukan. Ia akan meninggalkan legasi yang baik mengenai kemenangan dan kemenangan.

"Motivasinya bermula untuk mendapatkan momentum dan kemudiannya ia menjadi tabiat dan tradisi sekali gus sebagai budaya di sini. Di JDT, kami perlu menang setiap pertandingan dan ini adalah tekanan yang begitu memuncak.

"Tetapi kami perlu mengharungi tekanan ini dan memenuhi apa yang dimahukan daripada pihak pengurusan," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pada aksi final itu, skuad Harimau Selatan hanya kehilangan pemain tengah, Safiq Rahim kerana penggantungan dan mampu menurunkan semua pemain kerana Mora memiliki skuad yang lengkap bagi aksi penentuan itu.

Pada masa sama, Mora juga menegaskan tidak timbul isu di mana dia perlu memenangi Piala Malaysia untuk membuktikan betapa dia lebih baik berbanding pengendali skuad 'The City Boys', Bojan Hodak yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih JDT.

Tegasnya, dia menghormati sejarah yang pernah dilakar Hodak ketika mengendalikan JDT sebelum ini namun pasukan itu tetap memenangi pelbagai gelaran tanpa mengira siapa pun yang menjadi pengendalinya.

"Jujurnya saya tidak rasa apa-apa. Dia (Hodak) pernah berada di JDT dan menjadi watak penting ketika itu tetapi sebagai jurulatih, kami hanya membantu untuk melaksanakan permainan bola sepak yang terbaik dan memotivasikan mereka.

"Bojan hanyalah seorang lagi jurulatih dan dia tahu bagaimana untuk mengendalikan pasukan. Kalau kami menewaskan mereka, kami menewaskan KL City FC dan tiada isu peribadi," katanya.

Berita Harian X